MUDA dapat ‘restu’ DAP, Amanah tanding 6 kerusi di Johor


(FMT) – MUDA akan bertanding di enam kerusi pada pilihan raya negeri (PRN) Johor 12 Mac ini.

Dalam kenyataan bersama Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Presiden MUDA Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata pembahagian kerusi itu bagi memastikan tidak ada pertindihan antara calon tiga parti berkenaan di setiap kawasan di Johor.

Enam kerusi akan ditandingi MUDA ialah di Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa dan Bukit Permai.

Ketiga-tiga parti itu membuat keputusan itu selepas mengadakan rundingan pengagihan kerusi bagi menghadapi PRN Johor.

Berikut kedudukan kerusi DUN berkenaan pilihan raya umum ke-14 (PRU14):

  • Tenang – Solihan Badri dari Bersatu menang majoriti 1,070 undi
  • Bukit Kepong – Dr Sahruddin Jamal Bersatu menang majoriti 1,273 undi
  • Parit Raja – Ferdaus Kayau dari Bersatu kalah dengan majoriti 638 undi
  • Machap – Ahmad Ahem dari Bersatu kalah dengan majoriti 404 undi
  • Puteri Wangsa – Mazlan Bujang dari Bersatu menang dengan majoriti 24,959 undi
  • Bukit Permai – Tosrin Jarvanthi Bersatu menang dengan majoriti 2,531 undi

Amanah DAP dan MUDA juga akan menumpukan usaha dan tenaga untuk memenangkan setiap calon serta bersama-sama menubuhkan kerajaan Johor demi membantu rakyat mencapai impian mereka.

“Ini bermakna bagi menghadapi PRN Johor, Amanah, DAP Dan MUDA bakal bergerak sebagai rakan strategik pilihan raya walaupun MUDA tidak menyertai Pakatan Harapan (PH).

“Ini serasi dengan prinsip “khemah besar” untuk menyatupadukan semua parti politik dan menggembleng tenaga yang bersedia melawan kerajaan BN/PN,” katanya.

 



Comments
Loading...