Amanah khianat, gadai kerusi Puteri Wangsa milik PKR kepada MUDA


(Malaysia Post) – SEORANG pemimpin PKR Johor menyifatkan keputusan Amanah menyerahkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa untuk ditandingi MUDA dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai satu pengkhianatan.

Ketua Wanita PKR Johor, Napsiah Khamis Maharan berkata beliau cuba berlapang dada apabila kerusi itu diberikan kepada Amanah sebelum ini atas kesepakatan rakan lama dalam Pakatan Harapan (PH).

Malah katanya, beliau telah menyiapkan jentera untuk calon Amanah bagi berdepan PRN Johor namun parti itu dengan mudah memberikan kerusi tersebut kepada MUDA.

“Sayang dan kasihnya saya pada Puteri Wangsa kerana saya dilahirkan di sini, dibesarkan, sekolah, dari umur 10 tahun ikut bapa sebagai pembangkang di Tebrau sehinggalah saya ceburi bidang politik.

“Saya bantu Keadilan sehingga kita menang di Parlimen Tebrau dan DUN Tiram. Dan kita ada puluhan ranting di sini. Isunya bukan tentang saya, tapi saya nak tempat ini untuk Keadilan kerana saya yakin hanya Keadilan boleh menjaga Puteri Wangsa ini.

“Siapa pun calon mesti dari Keadilan atau kalau tak boleh juga, boleh saja dari DAP atau Amanah… tapi itulah,” katanya menerusi luahan di Facebooknya hari ini.

Mengulas lanjut Napsiah berkata, atas sikap profesional dan taat pada arahan parti, beliau terima dan susun sebaiknya untuk membantu calon Amanah kerana selepas ‘Langkah Sheraton’ hanya PKR bersungguh-sungguh pulihkan keadaan di Puteri Wangsa.

“Kami bina semula kepercayaan rakyat. Apabila Amanah berikan (DUN Puteriwangsa) kepada MUDA, pada saya ini adalah pengkhianatan kepercayaan yang akar umbi berikan.

“DUN ini menang majoriti 24,000, mudahnya memberi kerusi paling berharga di Johor kepada satu parti yang belum pasti kesetiaannya,” katanya lagi.

Terdahulu menerusi kenyataan bersama, Amanah dan DAP mengesahkan memberi laluan kepada MUDA bertanding di enam kerusi DUN dalam PRN Johor bulan depan.

Kerusi tersebut ialah DUN Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa dan Bukit Permai.

Perkara itu dimuktamadkan hasil rundingan rasmi antara MUDA bersama DAP dan Amanah.

Menerusi kenyataan hari ini, ketiga-tiga parti menyatakan rundingan rasmi itu telah bersetuju dengan tiga matlamat utama, antara lain memastikan tiada pertindihan kerusi antara calon-calon mereka.

Selain itu, menumpukan usaha dan tenaga kerja jentera Amanah, DAP dan MUDA untuk memenangi setiap calon; dan bersama-sama menubuhkan kerajaan negeri Johor demi membantu rakyat mencapai impian mereka.

Pada PRU14 lalu, kerusi DUN Puteri Wangsa dimenangi calon PKR, Mazlan Bujang.

 



Comments
Loading...