Ada kluster dalam UMNO kita hormat, tetapi kesabaran Pas tetap ada had – Khairil Nizam


(Utusan TV) – PENGHORMATAN Pas kepada UMNO adalah kepada kluster yang mahukan penyatuan ummah, kata Ketua Penerangan Pas, Senator Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin.

Beliau berkata, di antara yang tergolong dalam kluster ini adalah mereka yang berada dalam kerajaan sekarang.

Katanya, kluster ini terbukti fokus untuk membawa Malaysia kembali ke tempatnya setelah berdepan ujian COVID-19.

“Kita tak boleh bakulkan UMNO secara keseluruhan di dalam satu bakul, dia ada kluster-kluster tertentu.

“Penghormatan Pas kepada UMNO adalah kepada kluster yang mahukan penyatuan ummah dan di antara mereka adalah yang berada dalam kerajaan sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi temu bual bersama Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan yang disiarkan di laman Youtube Bersatu Online.

Menurut Khairil Nizam, meskipun demikian, Pas tetap mempunyai had dalam kesabaran berkait hubungan dengan UMNO.

Katanya, sebagai sebuah parti lama yang mempunyai banyak bertahaluf siyasi dan taawun dengan parti lain, kesabaran Pas akan ada pertimbangan.

“Sekiranya memberi defisit kepada Islam, khususnya kepada perpaduan ummah kita tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap hubungan kita dengan UMNO,” tegasnya.

Apabila ditanya ‘had itu di mana’, Khairil Nizam berkata, Pas sebuah parti yang berpengalaman dalam menguruskan setiap situasi termasuk konflik seperti sekarang.

Katanya, Pas pada masa sama mempunyai struktur tersendiri termasuk muktamar dan Majlis Syura Ulama dan ini memerlukan prosedur dalam bertindak.

“Apa yang berlaku sekarang, bagaimana tindakan pengkhianatan sebilangan pemimin UMNO terhadap hubungan Pas dalam Muafakat Nasional mahu pun Kerajaan Perikatan Nasional, ia sedang diambil kira.

“Ia memerlukan prosedur, perkara-perkara ini sedang dalam penilitian dan sekiranya diangkat dengan kuat barangkali akan ada muktamar khas untuk perbincangan kembali dan seterusnya diangka ke Majlis Syura untuk membuat penentuan terhadap dasar,” jelasnya.

Khairil Nizam pada masa sama meminta ahli-ahli Pas dan Bersatu bersabar dalam mendepani tindak-tanduk sebilangan pemimpin UMNO yang tidak disenangi mereka.

“Ini disebabkan tindakan kepimpinan adalah berstrategi, berperingkat dan tidak gelojoh,” katanya.

Antara dibangkitkan Khairil Nizam ialah pembuburan DUN Melaka yang kerana ‘berebut kontrak pasir’, diikuti pembubaran PRN Johor serta penukaran Menteri Besar Perak.

Dalam pada itu, ditanya pandangannya mengenai Perikatan Nasional, beliau berkata, ia adalah kerjasama baru yang segar dan menarik untuk ditawarkan kepada rakyat sebagai alternatif kepada PH dan sebelum ini BN.

“Paling penting PN bebas daripada kluster jenayah, kluster rasuah yang terbabit merosakkan negara sebelum ini.

“Nilai integriti yang ditawarkan kepada rakyat dan negara,” jelasnya yang juga AJK Pas Pusat.

 



Comments
Loading...