MB Johor mahu PRN diadakan, beri isyarat bakal bubar DUN


(Agenda Daily) – Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad memberi isyarat bakal membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam masa terdekat bagi memberi laluan pilihan raya negeri (PRN) dijalankan.

Hasni dalam kenyataan terbaharunya hari ini memberi jaminan bahawa sistem penyampaian kerajaan negeri tidak akan terganggu jika PRN diadakan di negeri tersebut dan jentera kerajaan akan terus berfungsi sepanjang tempoh itu.

“Sekiranya kerajaan negeri memutuskan untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri…visi kerajaan tidak akan terganggu.

“Program kerajaan (akan) dijalankan seperti dirancang serta apa sahaja yang dirancang di bawah Belanjawan Negeri 2022,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut.

Beliau terdahulu merasmikan tapak ujian dron di Medini hari ini.

Khabar angin mengenai PRN akan datang bertiup kencang berikutan kematian ADUN Kempas Datuk Osman Sapian baru-baru ini menjadikan kerajaan pimpinan UMNO hanya memiliki satu majoriti satu kerusi dalam DUN Johor.

Pada masa ini, Dewan Undangan Negeri Johor diterajui Barisan Nasional dengan 28 kerusi yang merangkumi UMNO (14 kerusi), MIC (dua), Bersatu (11) dan PAS (satu) manakala Pakatan Harapan memiliki 27 kerusi iaitu DAP (14), PKR (tujuh) dan Amanah (enam).

 



Comments
Loading...