Awal minta siasat Azam Baki, lepas SC siasat tak terima pula, bidas PM


(Agenda Daily) – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membidas sikap sesetengah pihak yang pada awalnya mendesak siasatan dijalankan terhadap Tan Sri Azam Baki, tetapi kemudian menolak pula keputusan yang diumumkan Suruhanjaya Sekuriti (SC).

Perdana Menteri berkata siasatan dan keputusan daripada badan profesional terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu perlu diterima semua pihak dengan hati terbuka.

“Jangan kita minta supaya dia (Azam) disiasat dan apabila sudah disiasat, keputusan telah dibuat tapi kita masih tak puas hati.

“Jangan fikir ikut kehendak kita sahaja. Kalau pembangkang rasa mesti ikut kehendak pembangkang, tidak boleh… dia kena terimalah keputusan daripada badan profesional seperti SC.

“Jadi kalau ada apa-apa nak tanya mengenai keputusan SC, pergi tanya SC,” katanya seperti dilapor Bernama ketika diminta mengulas tindakan beberapa pihak, termasuk pembangkang yang enggan menerima hasil keputusan SC yang menyiasat akaun dagangan Azam.

Semalam, SC sekali lagu mengulangi keputusan bahawa tiada pelanggaran mengikut Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA) berhubung akaun dagangan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu.

SC menjelaskan bahawa bukti bebas yang dikumpulkan pada siasatan akaun dagangan Azam menunjukkan bahawa Azam ialah pemegang akaun dan mempunyai kawalan ke atas akaun dagangan berkenaan.

“Sehubungan dengan ini, siasatan tersebut adalah berkaitan dengan isu sama ada telah berlaku pelanggaran di bawah seksyen 25(4) SICDA.

Seksyen 25(4) menyatakan bahawa suatu akaun dagangan mesti dibuka di atas nama pemilik benefisial atau penama yang diberi kuasa,” kata SC dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata siasatan itu diserahkan kepada SC kerana ia melibatkan pembelian saham dan semua pihak harus menerima keputusan siasatan yang telah dibuat.

“SC sudah buat keputusan… (perkara ini) serah pada SC kerana ia melibatkan pembelian syer. Jadi SC dah buat keputusan dan kenyataan menyatakan tidak ada kes terhadap dia (Azam), jadi kita terima keputusan SC,” katanya.

 



Comments
Loading...