Jangan ambil kesempatan jadi hero


(Utusan) – SEMUA pihak harus berlaku adil dengan memberikan ruang dan masa kepada pihak berwajib untuk melaksanakan tugas mereka.

Kini Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjelaskan, siasatan akan dijalankan bagi membuktikan kesahihan isu pembelian saham melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Tindakan Azam mengeluarkan surat tuntutan (LOD) menerusi peguamnya harus dilihat sebagai hak untuk mempertahankan imej dan reputasi beliau.

Pihak yang menerima LOD juga mempunyai hak sama untuk menjawab surat berkenaan atau berani berhadapan dengan tindakan undang-undang selanjutnya.

Masing-masing mempunyai hak menuntut atau mempertahankan diri mengikut undang-undang dan perkara ini tidak wajar dipertikaikan.

Banyak pihak mengambil kesempatan untuk menangguk di air yang keruh dengan menghentam semua bentuk tindakan dibuat oleh Azam dan mengetepikan hak beliau mempertahankan diri.

Terbaru, tindakan Azam mengeluarkan LOD terhadap penulis yang memfitnahnya dikatakan sesuatu yang tidak wajar. Sedangkan undang-undang memberikan ruang kepada beliau mengenakan apa-apa tindakan sivil terhadap penulis.

Penulis mendakwa dirinya tidak wajar diambil apa-apa tindakan kerana dikatakan sebagai pemberi maklumat yang dilindungi undang-undang. Benarkah?

Saya bersetuju dengan pandangan pelbagai pihak bahawa seseorang pemberi maklumat hanya akan mendapatkan perlindungan sekiranya maklumat atau aduan dibuat kepada pihak berkuasa.

Perlindungan akan terbatal sekiranya pemberi maklumat tersebut sendiri melakukan tindakan tidak wajar termasuk mendedahkan identiti diri dan maklumat kepada pihak ketiga (apatah lagi media massa).

SC dan PDRM telah dan sedang mengambil tindakan siasatan. Kedua-duanya mempunyai kuasa yang termaktub dalam undang-undang. Biarlah kedua-dua agensi melaksanakan tugas. Kita harus memberi ruang dan masa untuk mereka menjalankan siasatan.

Apa jua hasil siasatan wajar diterima dengan hati terbuka. Jangan ada yang mengambil kesempatan menjadi hero dalam isu ini.

DR. KASSIM NOOR MOHAMMED

 



Comments
Loading...