Tiada Kerjasama Warisan-UMNO Tubuh Kerajaan Baharu


(Borneo Today) – Parti Warisan (Warisan) kekal dengan pendirian bahawa tiada rundingan atau perbincangan dengan mana-mana parti politik termasuk UMNO untuk menubuhkan kerajaan Sabah yang baharu.

Penjelasan itu secara langsung menafikan andaian pihak tertentu termasuk blogger dan juga penganalisis politik yang menyatakan Warisan bakal menggantikan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dikatakan akan gugur pada bila-bila masa.

Ketua Penerangan Warisan, Datuk Awang Ahmad Sah Awang Sahari bekata, Warisan adalah parti pembangkang yang fokus dalam perjuangan untuk kebaikan rakyat Sabah dan Malaysia.

“Warisan akan terus meletakkan fungsi kerajaan ke landasan yang betul dan mematuhi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan menghapuskan rasuah.

“Parti Warisan komited dalam perjuangan ini dan akan berkerja keras agar rakyat memahami dan menyokong perjuangan parti Warisan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Sah berkata demikian bagi mengulas dakwaan sebuah portal bahawa Sabah bakal mempunyai kerajaan baharu yang lebih progresif menerusi gabungan Barisan Nasional (BN) dan Warisan.

Dalam laporan itu juga menyatakan desas-desus ini semakin bertiup kencang dan penganalisis politik juga menjangka kerajaan baharu ini akan terbentuk dalam masa terdekat.



Comments
Loading...