Pemimpin DAP tolak Anwar, hubungan dengan PKR tegang


(Warta Rakyat) – HUBUNGAN antara PKR dan DAP semakin tegang berikutan timbul dakwaan mengenai beberapa pemimpin DAP menolak kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH).

Memetik laporan Free Malaysia Today, dakwaan itu dibuat oleh bekas Pengerusi DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau.

Situasi semakin panas apabila Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin menggesa Cheng Hau tampil membuat penjelasan berhubung dakwaan tersebut.

“Saya menggesa Boo untuk tampil dan mengambil tanggung jawab mengemukakan penjelasan lanjut kepada Pengerusi PH (Anwar) sendiri dan tidak melemparkan tuduhan dan melakukan serangan menggunakan media,” katanya kepada Free Malaysia Today.

Semalam, portal The Vibes melaporkan Cheng Hau mendakwa beberapa pemimpin DAP menggesa Anwar berundur sebagai ketua blok pembangkang.

Beliau berkata, mereka adalah individu yang mesra dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan berharap dapat kembali berkuasa suatu hari nanti.

Cheng Hau berkata, beliau tidak bersetuju dengan beberapa rakan partinya yang menjadikan Anwar sebagai kambing hitam untuk prestasi buruk PH dalam pilihan raya negeri Melaka bulan lepas.

Tanpa menamakan pemimpin DAP itu, katanya, kumpulan yang mahu Anwar berundur ialah bekas menteri dan timbalan menteri ketika PH mentadbir negara sebelum ini.

Dalam pada itu, Shamsul berkata, Deklarasi Port Dickson selepas pemukiman PH awal tahun ini mencapai konsensus untuk Anwar mengetuai kempen Pilihan Raya Umum ke-15 dan akan diangkat sebagai calon Perdana Menteri.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil menyifatkan kenyataan Cheng Hau itu sekadar pandangan peribadi yang tidak mewakili pendirian DAP.

Katanya, beliau tidak mempunyai maklumat lanjut untuk mengulas dakwaan itu yang melibatkan isu dalaman PH.

 



Comments
Loading...