Mahkamah Rayuan tangguh hantar Najib ke penjara, bayar denda


(Agenda Daily) – Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil dan bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, membuat keputusan itu setelah mendengar hujah peguam bela dan pendakwa.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk V Sithambaram membantah permohonan Najib untuk menangguhkan sabitan dengan berhujah bahawa sabitan tidak boleh ditangguhkan.

Bagaimanapun, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berhujah, Seksyen 311 Kanun Acara Jenayah menyatakan bahawa perintah dan sabitan boleh dirayu, dengan itu boleh ditangguhkan.

Beliau berkata, jika anak guamnya tidak boleh menangguhkan sabitan, ia akan menjejaskan kedudukan beliau sebagai Ahli Parlimen.

Sementara itu, peguam Farhan Read berhujah, Najib tidak pernah disabitkan dengan mana-mana kesalahan jenayah dan beliau tidak pernah melanggar syarat jaminan.

Katanya, ia adalah sesuatu yang belum pernah berlaku dalam sejarah negara.

“Perayu juga dibebani sebagai Ahli Parlimen, Ketua UMNO Pekan. Kalau penangguhan tidak diberikan ia akan menyebabkan beliau terbatal kelayakan jawatan itu.

“Jika didapati tertuduh tidak boleh membayar denda RM210 juta, ini akan menyebabkan beliau boleh dipenjarakan.

“Jika hukuman penjara ditangguhkan dan tidak kepada hukuman denda, dan beliau gagal membayar denda, ia akan menyebabkan beliau akan dipenjarakan juga akhirnya,” katanya.

Terdahulu, panel hakim berkenaan sebulat suara menolak rayuan bekas Presiden UMNO itu untuk mengetepikan tujuh tuduhan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd dan mengekalkan sabitan serta hukuman penjara dan denda dijatuhkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Mahkamah Rayuan mendapati Datuk Seri Najib Razak diberikan kuasa istimewa dalam SRC kerana peranannya sebagai Perdana Menteri ketika itu.

Bekas Perdana Menteri itu mendakwa dalam pembelaan, tindakannya adalah bagi kepentingan nasional.

“Ini bukan bagi kepentingan nasional seperti didakwa, ini adalah memalukan negara (national embarrassment),” kata Abdul Karim.

Abdul Karim berkata, Mahkamah Rayuan mendapati wang yang dipindahkan dalam akaun Najib adalah hasil daripada aktiviti haram dan perayu mengetahui mengenai kemasukan wang daripada dana SRC dalam akaunnya.

“Kami bersetuju dengan dapatan hakim Mahkamah Tinggi bahawa tuduhan pengubahan haram berjaya dibuktikan melampaui keraguan munasabah.

“Kami mendapati Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf dalam mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes pecah amanah jenayah melampaui keraguan munasabah.

“Kami mendapati sabitan Mahkamah Tinggi terhadap semua tuduhan pengubahan wang haram terhadap perayu juga adalah selamat,” katanya.

Najib, 68, memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lalu, yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atasnya selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh tuduhan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan, membabitkan RM42 juta dana SRC.

SRC ialah subsidiari kepada syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas Najib bagi setiap tuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram (masing-masing tiga tuduhan) serta penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atau penjara lima tahun, bagi tuduhan menyalahgunakan kedudukan.

Bagaimanapun, beliau hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 12 tahun selepas hakim itu memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak.

 



Comments
Loading...