Enggan ditohmah ‘barua DAP’, 2 ADUN Amanah ‘sokong’ henti operasi nombor ekor berlesen


Demi menghentikan tohmahan Amanah ‘barua DAP’, dua wakil rakyat parti itu bangun menyatakan ‘sokongan’ terhadap rancangan kerajaan negeri menghentikan operasi kedai nombor ekor.

(FMT) – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundor, Ismail Salleh dan Mohd Asmirul Anuar Aris (Kubang Rotan), semalam, berbuat demikian sebagai reaksi spontan selepas ADUN PAS, Mohd Azam Abdul Samad (Sungai Limau), mencadangkan wakil rakyat supaya bangun tanda bersetuju.

Ismail berkata, beliau bangun kerana menyedari keseluruhan ‘permainan’ PAS itu berdasarkan sentimen dan politik.

“Cuba bayang kami Amanah daripada dulu yang dicop sebagai barua DAP dan seumpamanya, cuba bayang kalau dalam keadaan macam tu, kamu (PAS) tu (itu) judi haram dalam Islam, kami tak berdiri, sah ‘ini barua DAP’.

“Amanah nak bawa Islam kepada semua, rahmat kepada semua,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, PAS sebenarnya hanya mahu ‘memerangkap’ wakil rakyat Amanah, sebagai langkah melakukan ‘kawalan kerosakan’ susulan kerajaan Persekutuan yang juga dianggotai parti itu, bertindak menambah bilangan cabutan khas judi.

“Dia (Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor) baharu kalah saman (fitnah) dengan Dato Mahfuz (Omar) (Ahli Parlimen Pokok Sena), isu sama isu judi RM65,000. Kesemua ini diorang main politik dapat ‘mileage’ politik semula,” katanya.

Pada 8 Nov lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Sanusi membayar ganti rugi RM50,000 kepada Mahfuz, berhubung kenyataan fitnah melalui hantaran Facebook dua tahun lalu.

Mahkamah juga memerintahkan defendan (Sanusi) menulis permohonan maaf kepada plaintif di laman Facebook milik defendan dalam tempoh 14 hari dan memerintahkan defendan membayar kos tindakan guaman kepada plaintif berjumlah RM15,000.

Pada 9 Okt 2019, Mahfuz memfailkan saman terhadap Sanusi berdasarkan hantaran dibuat dalam akaun Facebooknya pada 30 Julai 2019, yang mengaitkan Mahfuz selaku wakil rakyat bagi kawasan Pokok Sena, dalam isu pemindahan Sport Toto ke kawasan berkenaan.

Dalam pada itu, Mohd Asmirul, berpandangan soalan dicadangkan Mohd Azam lebih menjurus kepada soal hukum dan mengikut pemahaman beliau dan Ismail, merujuk kepada pengharaman berjudi dalam Islam.

“Hukum bagi orang Islam haram (judi), haram untuk makan khinzir, tapi kami tidak menidakkan hak orang bukan Islam. Tapi, sebagai seorang Islam kita kena bangunlah berdasarkan hukum Quran,” katanya.

Katanya, tindakan berdiri seperti menyatakan sokongan itu bukan bermaksud atas prinsip menafikan hak orang bukan Islam.

“Yang ini ‘political games’, peringkat negeri mereka kata nak haram, tapi kat Persekutuan dia laksana. Cabutan undi naik dari lapan hingga 22, arak timah (jenama) dan sebagainya,” katanya.



Comments
Loading...