Zahid sedih Muhyiddin lontar penghinaan pada BN


(Malaysiakini) – Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi hari ini menyatakan rasa sedihnya apabila mendengar ucapan Muhyiddin Yassin yang menyerang BN dan menganggap sejarah gabungan itu sudah berakhir ketika sebelum ini dia mendapat faedah daripada parti berkenaan.

Kata Ahmad Zahid, kata-kata presiden Bersatu merangkap presiden Perikatan Nasional (PN) itu adalah satu penghinaan kepada Umno dan BN.

“Sedih kata-kata penghinaan itu dilontarkan oleh seseorang yang sebelum ini menempa nama dalam dunia politik menggunakan dukungan dan sokongan daripada ahli akar umbi BN,” katanya dalam hantaran di media sosial hari ini.

Tambah ahli parlimen Bagan Datuk itu pelbagai tohmahan, fitnah dan hinaan dilemparkan pihak lawan kepada BN dan ia disaksikan oleh penyokong mereka selama ini.

Di sebalik serangan itu kata Ahmad Zahid keyakinan penyokong Umno dan BN tidak pernah, menyusut malah mereka kekal setia di seluruh negara.

“Penghinaan Pengerusi PN itu malah akan menguatkan semangat seluruh jentera, ahli dan penyokong BN untuk memenangi PRN Melaka ini,” katanya lagi.

Keputusan tepat akar umbi

Kelmarin semasa berucap di majlis ceramah dalam talian PN di Shah Alam Muhyiddin dia wajar menceritakan keadaan semasa negara dan perlunya landskap politik berubah.

“Bahawa sejarah BN sudah berakhir. Sudah lama mereka melalui proses, sudah lebih enam dekad lamanya.

“Sekarang rakyat sudah berubah, pendirian mereka juga banyak terbuka disebabkan ilmu dan kemahiran, penguasaan teknologi maklumat memberikan banyak pengetahuan baru,” katanya.

Untuk rekod Muhyiddin merupakan ahli politik yang lama dalam Umno dan pernah menjadi timbalan presiden parti itu serta berkhidmat sebagai timbalan perdana menteri sebelum dipecat semasa isu 1MDB memuncak.

Tempatnya dalam Umno itu kemudian digantikan oleh Ahmad Zahid yang ketika itu menjadi naib presiden.

Kata Ahmad Zahid melihat kepada sikap Muhyiddin itu ternyata keputusan akar umbi Umno pada perhimpunan tahunan mereka untuk memutuskan hubungan kerjasama dengan Bersatu adalah tepat.

“Kata-kata Presiden Bersatu itu sekali gus menyerlahkan sebuah hipokrasi yang mencerminkan nawaitu sebenar mereka ke atas BN dan Umno amnya,” kata Ahmad Zahid.

Di sebalik ketegangan hubungan di antara Umno dan Bersatu, kedua-dua parti terbabit kekal bekerjasama dalam kerajaan pusat serta hampir semua kerajaan negeri selepas kejatuhan PH pada tahun lalu.

 



Comments
Loading...