Anwar mengaku PRN Melaka sebabnya Covid-19 meningkat semula


(FMT) – Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim mendakwa kegopohan mengadakan pilihan raya negeri (PRN) Melaka ketika kes Covid-19 masih tinggi menyebabkan SOP berkempen tidak tentu arah, selepas seorang sukarelawan Pakatan Harapan (PH) dikompaun RM4,000 kerana menyertai “walkabout” di Alor Gajah.

Presiden PKR itu berkata, Yang Dipertua Negeri Melaka, Mohd Ali Rustam juga harus bertanggungjawab terhadap PRN Melaka kerana tidak meneliti cadangan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) sehingga menyusahkan rakyatnya.

“Kerajaan (negeri) Umno telah nasihatkan TYT (Yang Dipertua Negeri) dan TYT tidak teliti perkara itu dan sekarang kita tengok kesannya, SOP yang tidak tentu arah,” katanya selepas merasmikan “Program Townhall Undi18: Wacana Pemicuan Undi18 Negeri Selangor”.

“Apa kaitan lambang dengan kesihatan? Adakah dengan memakai lambang menjejaskan kesihatan. Ini kerana tindakan tergopoh-gapah kerajaan Umno Melaka dan TYT sendiri yang sebabkan orang Melaka hadapi masalah.”

Semalam, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil pula dilaporkan berkata, kompaun itu dikeluarkan kepada individu yang dikatakan sukarelawan PH kerana memakai jaket parti ketika berada di sebuah warung di Kampung Melaka Pindah, Alor Gajah pada 10 Nov lalu.

Ketua Polis Melaka, Abdul Majid Mohd Ali kemudian dilaporkan berkata, SOP adalah jelas membabitkan larangan “walkabout”, termasuk berkempen secara fizikal pada PRN Melaka dan apabila seseorang itu memakai pakaian disertai logo parti politik, ia termasuk dalam elemen berkempen.

Sebelum ini, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Abdul Ghani Salleh mengumumkan SOP terkini PRN Melaka melarang semua 112 calon bertanding mengadakan sebarang perhimpunan, kempen secara bersemuka, ziarah rumah ke rumah dan tinjauan mesra.

Bagaimanapun, SOP itu membenarkan calon mengedarkan risalah, selain menggunakan kenderaan bergerak seperti lori dan van yang diubah suai dengan pembesar suara untuk berkempen.

Dalam pada itu, Anwar menggesa generasi muda bangkit membawa perubahan dengan menolak calon Perikatan Nasional dan Barisan Nasional pada 20 Nov ini.

Mengenai kemungkinan PRN Sarawak ditangguhkan ke tahun depan, Anwar mahu Kementerian Kesihatan mengkaji semua petunjuk berpandukan data dan sains.

“Perbincangan mesti dikaitkan dengan keselamatan dan kesihatan dan kalau kesihatan membimbangkan, saya setuju (ditangguhkan). Kita nak lihat data dan sainsnya, jangan ulangi kesilapan di Melaka.”

 



Comments
Loading...