Najib pegang kuasa muktamad dalam 1MDB – bekas CFO


(Malaysiakini) – Bekas ketua pegawai kewangan (CFO) 1MDB memberi keterangan dia menuruti Low Taek Jho kerana Najib Razak merupakan ‘kuasa muktamad’ terhadap syarikat pelaburan negara ini.

Azmi Tahir memberi keterangan ini semasa perbicaraan rasuah RM2.28 bilion hari ini terhadap bekas perdana menteri itu.

Semasa membacakan kenyataan setebal 127 muka surat, saksi pendakwaan ke-12 itu mendakwa apabila diambil sebagai CFO 1MDB pada 2012, ketua setiausaha sulit Najib ketika itu, Azlin Alias memperkenalkannya kepada Jho Low.

Dia mendakwa Azlin memperkenalkan Low sebagai penasihat 1MDB kepada Najib.

Azmi mendakwa ketika bertemu Low di KLCC sekitar Jun 2012, ahli perniagaan itu memberitahu saksi berkenaan semua arahannya (Low) dan Azlin adalah mandat daripada Najib, maka ia mesti dipatuhi.

Saksi itu mendakwa dia juga diberitahu oleh Azlin kemudiannya bahawa Low ialah penasihat atau orang rapat kepada perdana menteri ketika itu dan Low akan memberikan maklumat atau arahan yang perlu dilakukannya kerana datang daripada perdana menteri ketika itu.

Azmi mendakwa semasa memegang jawatan sebagai CFO 1MDB, Low mengatur di belakang tabir atas arahan dan “restu” Najib.

Dakwanya lagi, Low dan Azlin memastikan hanya pegawai tertentu yang dipercayai mengikuti mereka dalam sistem kerja ‘sulit’ itu.

“Semasa bertugas sebagai CFO 1MDB, terdapat tindakan sulit di belakang yang telah disusun dan dirancang oleh Jho Low melalui arahan dan kelulusan Najib dan orang tertentu dipilih dalam pengurusan tertinggi 1MDB dan ahli lembaga pengarah bagi memastikan arahan tersebut akan dilaksanakan.

“Saya boleh katakan sistem ini adalah berlapis,” kata Azmi.

“Datuk Seri Najib mempunyai kuasa muktamad dalam membuat keputusan terutamanya melibatkan pelaburan, keputusan kewangan dan kepentingan negara.

“Selain saya, antara pengurusan tertinggi yang disusun dalam sistem ‘work in silo’ dalam 1MDB ini adalah bekas Ketua Pegawai Operasi Mohd Hazem Abd Rahman; bekas Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi; bekas Ketua Pegawai Pelaburan Vincent Koh; bekas peguam Jasmine Loo dan Timbalan CFO Terence Geh.

“Saya hanya menerima arahan selari dengan pengurusan tertinggi lain dan dalam masa sama Jho Low memberitahu saya semua tugasan adalah berdasarkan need to know basis iaitu kami hanya akan diberitahu mengenai sesuatu perkara berdasarkan skop tugasan dan setakat yang saya perlu tahu sahaja,” kata Azmi.

Kata Azmi lagi, Low akan menghantar e-mel dan Blackberry Messenger (BBM) yang mengandungi nota percakapan dan pelan tindakan kepada beliau dan orang lain dalam lapisan silo ini.

“E-mel ini perlu dipadam segera selepas dibaca kerana Jho Low tidak mahu ia bocor kerana arahan sulit tersebut melibatkan keputusan dan kehendak Perdana Menteri serta perlu melaksanakannya dengan segera memandangkan Najib mahu ia dilaksanakan segera.

“Kebiasaannya keputusan kritikal akan dibuat melalui Resolusi Ahli Lembaga Pengarah (DCR) tanpa melalui mesyuarat ahli lembaga pengarah (BOD) kerana Jho Low akan mengarahkan Loo untuk menyediakan semua DCR.

“BOD hanya perlu menandatangani DCR tersebut tanpa sebarang bantahan kerana ia adalah arahan Jho Low,” katanya.

Menurut Azmi, semua DCR itu disusuli oleh kelulusan Najib melalui sebuah dokumen resolusi pemegang saham yang Najib telah mengetahui lebih awal berdasarkan perbincangannya (Najib) dengan Jho Low.

“Ini berdasarkan dokumen yang telah ditandatangani dan dalam pengetahuan Najib sebagai Menteri Kewangan dan Perdana Menteri.

“Keseluruhannya, bagi saya, peranan Jho Low amatlah ketara sebagai penasihat kepada Najib dan boleh juga dikatakan Jho Low merupakan orang kanan dan dipercayai Najib dalam urusan 1MDB ini,” katanya.

Bagaimanapun, peguam bela Wan Aizuddin Wan Mohammed membangkitkan pelbagai bantahan terhadap beberapa bahagian keterangan saksi atas alasan khabar angin.

Keterangan Azmi hari ini serupa dengan keterangan saksi kesembilan pendakwaan dan bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi, yang memberi keterangan pada 2019 Najib memegang “kuasa muktamad” di sebalik syarikat pelaburan negara itu.

Najib dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.28 bilion dana 1MDB.

Dia juga merupakan menteri kewangan dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB ketika itu. 1MDB dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

 



Comments
Loading...