PAS-BERSATU perkukuh muafakat hadapi PRN Melaka


(PN BBC) – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan PAS dilihat semakin mengukuhkan permuafakatan bersama bagi memastikan perpaduan parti Melayu semakin kuat yang memberi kelebihan kepada rakyat di negara ini.

Ini turut dibuktikan apabila kedua-dua parti itu mahu menjalinkan kerjasama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijangka akan diadakan dalam masa terdekat.

Kekuatan permuafakatan itu juga semakin utuh apabila sebahagian pemimpin BERSATU juga hari ini meluangkan masa menziarahi Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebentar tadi di Terengganu, hari ini.

Perkara itu dinyatakan Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menerusi laman Facebook miliknya yang turut hadiri oleh Timbalannya, Datuk Seri Faizal Azumu dan dua Naib Presiden iaitu Datuk Seri Dr Ronald Kiandee serta Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.

Pada masa sama, pertemuan itu turut dihadiri oleh Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Haji Hassan.

Abdul Hadi ketika ditanyakan khabar dilihat memberikan petunjuk bahawa PAS sudah pun bersedia untuk menghadapi PRN Melaka secara bersama

“Cantik jawapan beliau bila ditanya sihat ke Tok Guru (Abdul Hadi)?

“(Abdul Hadi menjawab) Mana boleh tak sihat, kitakan nak berjuang, katanya.

“Alhamdulillah, begitu bersemangat Tok Guru. Beliau juga nampak sihat,” ujarnya menerusi media sosial miliknya, hari ini.

Terdahulu, parti-parti yang mendokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) dilihat masih mahu mempertahankan kerjasama erat bersama UMNO walaupun Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Mohd Rafiq sebelum ini pernah mengajak UMNO berunding bagi mengelakkan pertembungan kerusi yang bakal ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang diadakan berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Beliau berkata, perundingan di antara BERSATU, UMNO dan PAS penting bagi mengelakkan pertandingan tiga penjuru atau empat penjuru ketika berhadapan dengan calon Pakatan Harapan (PH).

PAS juga telah memberi jaminan bahawa partinya tidak akan meletakkan calon di kerusi yang bakal ditandingi oleh BERSATU dan UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man ketika menzahirkan perkara itu memaklumkan, keputusan tersebut dicapai dalam usaha PAS mengelak pertandingan tiga penjuru, sekali gus mengukuhkan kerjasama dan muafakat ummah antara ketiga-tiga parti.

 



Comments
Loading...