NFC adalah kesalahan Muhyiddin, kata Najib


(Utusan) – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan, isu pinjaman RM250 juta projek National Feedlot Centre (NFC) yang menjadi propaganda Pakatan Harapan (PH) selama sembilan tahun sehingga menjadi sebab kerajaan pimpinannya jatuh ketika itu.

Najib berkata, pinjaman berkenaan yang diluluskan Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa menjawat Menteri Pertanian pada tahun 2006 itu iaitu lebih dua tahun sebelum beliau menjadi Perdana Menteri, bukanlah satu bentuk geran percuma atau projek mencurigakan seperti bayaran RM305 juta untuk membuat laporan terowong Pulau Pinang.

Menurut beliau, selepas diberi pinjaman itu, syarikat NFC mengalami kesukaran untuk meneruskan projek pada garis masa ditetapkan kerana ada beberapa projek infrastruktur sokongan yang merupakan tanggungjawab Kementerian Pertanian lambat dibina.

“Walaupun projek mereka telah diperlambatkan, syarikat NFC masih perlu menanggung kos faedah ke atas pinjaman itu.

“Oleh itu, mereka menggunakan sebahagian dari dana ini untuk pelaburan-pelaburan lain yang tidak ada kaitan dengan projek NFC untuk mendapat pulangan untuk membayar faedah pinjaman. Bagaimanapun, ini dipercayai telah melanggar syarat-syarat pinjaman,” katanya dalam hantaran Facebook beliau.

Najib berkata, oleh sebab itu, pemilik NFC didakwa di mahkamah semasa beliau menjadi Perdana Menteri tetapi akhirnya, mahkamah mendapati mereka tidak menyalahi undang-undang.

Pada masa sama, katanya, kerajaan BN ketika pimpinannya juga menyita aset-aset mereka termasuk baki wang tunai sebanyak RM80 juta.

Tetapi, beliau berkata, jumlah itu tidak cukup untuk menjelaskan seluruh pinjaman RM250 juta ini kerana sebahagian dari pinjaman itu telah dibelanjakan untuk membina ladang untuk NFC termasuk untuk membiayai kos operasi mereka.

“Walaupun kerajaan BN pernah pertimbangkan beberapa kali untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap peminjam untuk mendapat balik seluruh dana RM250 juta itu, tindakan ini tidak diambil.

“Ini kerana syarikat NFC memberitahu kerajaan bahawa mereka sedang berunding dengan beberapa syarikat besar di dalam dan luar negara untuk mengambil alih projek NFC itu dan pembeli-pembeli itu juga bersetuju untuk menanggung bayaran untuk pinjaman termasuk seluruh kos faedah,” katanya.

Mengulas lanjut, Najib berkata, selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), syarikat NFC telah menulis kepada kerajaan untuk meminta kelulusan untuk pihak baharu itu mengambil alih projek dan pembeli baharu itu dikatakan mempunyai kekuatan kewangan serta pelan menyeluruh untuk meneruskan dan menjayakan projek NFC.

Tetapi, katanya, Menteri Kewangan PH, Lim Guan Eng tidak mahu memberi kelulusan sebaliknya, mereka mengambil tindakan untuk meneruskan saman sivil untuk menuntut syarikat NFC membayar balik seluruh pinjaman itu.

Jelas beliau, tindakan tersebut boleh dianggap pelik jika niat dan keutamaan ialah untuk mendapat balik dana tersebut dan menjayakan projek.

“DAP tahu bahawa nilai propaganda NFC ini jauh lebih tinggi untuk mereka berbanding dana RM250 juta atau kejayaan projek itu. Hampir 9 tahun, DAP menyebarkan propaganda menipu bahawa RM250 juta ini telah disonglap oleh Najib dan digunakan untuk membeli kondominium untuk simpan lembu di dalam.

“Oleh itu, ia amat sukar untuk DAP mengaku kepada penyokong mereka sekarang bahawa dana ini bukan disonglap tetapi ianya sesuatu pinjaman di mana peminjam sudah pun mahu membayar balik keseluruhannya termasuh kos faedah.

“Disebabkan itu, Menteri Kewangan PH terpaksa mengambil tindakan mahkamah ke atas syarikat NFC serta menolak pembayaran balik pinjaman serta rancangan meneruskan projek NFC untuk meningkatkan bekalan daging lembu tempatan,” katanya.

 



Comments
Loading...