Amanah dakwa BN sebabkan Malaysia hilang Pulau Batu Puteh


(Utusan) – Tindakan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang menuding jari kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) berhubung isu Pulau Batu Puteh didakwa hanyalah bermotifkan politik.

Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Dzulkefly Ahmad berkata, tuduhan itu hanya cubaan menutup kelemahan dan kecuaian kerajaan Barisan Nasional (BN) bawah pimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Dakwanya, ketika itu BN bertanggungjawab dalam mengurus serta berunding dengan pelbagai pihak yang mampu mendapatkan hak pulau berkenaan.

“Kelemahan dan kecuaian BN pada masa itu telah menyumbang kepada kegagalan Malaysia dalam mempertahankan hak tuntutan ke atas Pulau Batu Puteh di hadapan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang akhirnya terlepas kepada Singapura.

“Sehubungan itu, Amanah Johor mendesak kerajaan bersikap telus dengan membentangkan kelemahan dan kecuaian dalam mengemukakan bukti diperlukan untuk menuntut hak pulau tersebut semasa sebutan kes di ICJ pada 2008,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Kelmarin, Mohamed Khaled membuat kenyataan memaklumkan kerajaan PH bawah pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad harus bertanggungjawab kerana bertindak menarik balik semakan ke atas penghakiman kes berkenaan.

Tambah Dzulkefly yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, pada tahun 2018 semasa pemerintahan PH, proses berada di peringkat semakan semula penghakiman (judicial review) ke atas keputusan yang telah dibuat ICJ pada 23 Mei 2008.

“Peruntukan semakan semula penghakiman ini diperuntukan di bawah Perkara 61, Statue ICJ. Tindakan Mohamed Khaled cuba mempolitikkan isu Pulau Batu Puteh ini amat dikesali kerana isu ini adalah berkaitan dengan maruah dan kedaulatan negara serta Johor sendiri,” jelasnya.

Sabtu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Jemaah Menteri bersetuju pasukan petugas khas diwujudkan bagi membuat kajian menyeluruh, meneliti dan mencadangkan pilihan yang bersesuaian dengan mendapatkan pandangan daripada pakar undang-undang antarabangsa.

Beliau dilaporkan berkata, usaha tersebut bertujuan untuk menyemak semula undang-undang berkenaan permohonan semakan dan pentafsiran berkenaan kes Pulau Batu Puteh.

 



Comments
Loading...