Rentas negeri dibenarkan mulai esok – PM


(Malaysia Gazette) – Mulai esok, rakyat Malaysia yang lengkap dua dos vaksin boleh merentas negeri termasuk pulang ke kampung halaman tanpa perlu mendapatkan kebenaran polis.

Keputusan itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas penilaian risiko Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan kadar vaksinasi lengkap 90 peratus populasi dewasa di bawah Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Katanya, data terkini akan dikemaskini di laman sesawang COVIDNOW pada tengah malam ini.

“Kerajaan bersetuju memberi kebenaran kepada Keluarga Malaysia yang telah menerima vaksinasi lengkap untuk melakukan pergerakan rentas negeri tanpa perlu memohon kebenaran daripada polis bermula esok, Isnin, 11 Oktober 2021.

“Dengan keputusan ini, Keluarga Malaysia bebas melakukan pergerakan seperti balik ke kampung untuk berjumpa ibu bapa yang telah lama berpisah, melancong dan sebagainya.

“Terima kasih kepada Keluarga Malaysia atas kerjasama diberikan selama ini dalam mematuhi SOP dan menyokong kempen imunisasi Covid-19,” katanya dalam sidang media khas secara langsung, hari ini.

Menurut Ismail Sabri, kerajaan menguatkuasakan larangan merentas negeri dan daerah sebelum ini, demi menjaga keselamatan dan kesejahteraan Keluarga Malaysia.

Beliau sedar penguatkuasaan itu bukan keputusan disukai rakyat tetapi perlu dilaksanakan ketika itu bagi memastikan penularan wabak dapat dikekang berikutan peningkatan kes positif Covid-19 harian.

“Namun, rakyat diingatkan tidak bersikap sambil lewa terhadap kelonggaran diberikan. Ini penting dalam usaha membantu negara dalam pembukaan semula ekonomi serta persediaan menjalani kehidupan fasa endemik dengan selamat atau #ReopeningSafely.

“Jika diambil mudah, tidak mustahil penularan wabak Covid-19 ini akan kembali meningkat. Anda kini adalah barisan hadapan yang akan melindungi keluarga dan komuniti daripada jangkitan virus ini.

“Sebagai contoh, sekiranya ingin pulang ke kampung berjumpa ibu bapa atau merentas negeri, anda disaran melakukan ujian Covid-19 kendiri sebelum memulakan perjalanan,” katanya.

Beliau menasihatkan mereka yang bergejala seperti demam, batuk, selesema dan sesak nafas agar menangguhkan dahulu perjalanan.

Katanya, kebenaran itu bukan bermakna pihak berkuasa akan bersikap lepas tangan, sebaliknya sekatan jalan raya (SJR) untuk jenayah dan keselamatan masih diteruskan.

Menurut Perdana Menteri, pemeriksaan secara rawak akan tetap dilaksanakan oleh pihak berkuasa di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Kebenaran pergerakan rentas negeri ini tidak terpakai ke atas kawasan atau lokaliti yang diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” katanya.

 



Comments
Loading...