Lokman Adam diterima semula sebagai ahli Umno


BEKAS Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Lokman Noor Adam yang dibuang daripada parti pada Februari tahun lalu, diterima semula sebagai ahli Umno.

(Malaysia Post) – Perkara itu disahkan Lokman menerusi kenyataan hari ini yang memaklumkan beliau telah dihubungi oleh Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan berhubung perkembangan terbaharu itu.

“Alhamdulillah, saya telah dihubungi oleh YB Datuk Seri Ahmad Maslan, Setiausaha Agong Umno yang memaklumkan bahawa MKT Umno yang bersidang pada malam ini (tadi) telah memutuskan untuk menerima saya semula sebagai ahli Umno,” katanya.

Sehubungan itu beliau mengucapkan terima kasih kepada Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta barisan kepimpinan MKT Umno.

“Terima kasih Presiden dan Barisan MKT Umno. Insya-Allah saya akan buat yang terbaik bagi memastikan kemenangan Umno dalam PRU15. Terima kasih kepada semua yang mendoakan dan memberikan sokongan moral kepada saya selama ini,” katanya lagi.

Pada 8 Februari 2020, bekas Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa dilaporkan berkata Lokman bukan dipecat daripada jawatan MKT Umno, tetapi dibuang daripada parti.

Serentak itu, Lokman hilang kelayakan sebagai ahli MKT.

Beliau sebelum itu didakwa tidak bercakap benar dan tidak memahami Perlembagaan Umno terutama membabitkan kedudukan dan bidang kuasa Presiden dan ahli MKT yang dilantik.

Lokman juga didakwa cuba mencipta persepsi kononnya Presiden Umno menyalahguna kuasa, selain melaga-lagakan bekas Presiden, Datuk Seri Najib Razak dengan kepemimpinan tertinggi parti.



Comments
Loading...