Ku Li letak jawatan sebab gagal jadi PM: Nazri


(Agenda Daily) – Ahli Parlimen (MP) Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz menyifatkan tindakan Tengku Razaleigh Hamzah meletak jawatan Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO kerana kecewa tidak mendapat sokongan untuk menjadi Perdana Menteri.

Malahan, Nazri memberitahu bahawa ketika menandatangani surat sokongan dan menghadap Yang di-Pertuan Agong juga hanya 41 MP Barisan Nasional termasuk UMNO yang menyokong Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Sepatutnya BN ada 42 tetapi saya difahamkan Ku Li calonkan nama beliau sendiri jadi kami cuma 41 Ahli Parlimen.

“Kerana hanya beliau menyokong dirinya untuk jawatan Perdana Menteri jadi tidak dapatlah. Agaknya dia kecewa sebab itu letak jawatan pengerusi jemaah penasihat,” kata Nazri mengulas tindakan Tengku Razaleigh yang mesra dengan panggilan Ku Li.

Beliau juga mengaskan jawatan Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO itu hanya ‘window dressing’ sahaja, dan parti itu tidak pernah mengguna pakai nasihat Ku Li.

“Jawatan itu pun cuma window dressing saja. Tidak ada nasihat beliau yang UMNO pakai,” katanya dipetik daripada Astro Awani, hari ini.

Nazri juga berkata tindakan itu tidak mengejutkan kerana kebelakangan ini Ku Li telah menunjukkan beliau tidak lagi bersama UMNO, termasuk meminta tempat duduknya di dalam Dewan Rakyat diubah ke blok lain.

“Sebelum ini Ku Li minta untuk tempat beliau dalam Dewan Rakyat diletakkan berhampiran tempat duduk pembangkang. Kita nak tahu itu untuk apa?

“UMNO bersama kerajaan, kalau mahu duduk dekat dengan pembangkang adakah maknanya beliau sudah tidak bersama UMNO?” katanya.

Nazri turut mempertikaikan hasrat Ku Li mahu menghidupkan kembali UMNO yang lama.

Beliau mendakwa UMNO yang lama diharamkan oleh Mahkamah kerana tindakan Tengku Razaleigh yang tewas pemilihan parti tahun 1987.

“Beliau perlu ingat, disebabkan tewas pemilihan itulah ada penyokong beliau yang bawa isu pemilihan ke mahkamah dan UMNO diharamkan.

“Malah beliau tidak bersama UMNO yang baru tetapi menubuhkan Parti Semangat 46 hingga kita tewas di Kelantan sejak 1990 hingga sekarang.

“Jadi dia nak apa buktikan apa bila nak hidupkan UMNO yang lama? Nak jadi presiden? Kalau sayang UMNO sokong lah kerajaan yang UMNO terajui dan jadi Perdana Menteri,” katanya.

Ku Li mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO. Peletakan jawatan itu dibuat sehari setelah beliau membidas pemimpin UMNO yang menyalahgunakan kedudukan untuk memperkayakan diri, ketika menyampaikan perbahasan di Dewan Rakyat semalam.

 



Comments
Loading...