PH akan tarik diri jika kerajaan gagal laksana MoU, kata Ahli Parlimen PKR


(FMT) – Seorang Ahli Parlimen PKR berkata, Pakatan Harapan (PH) akan menarik diri daripada memorandum persefahaman (MoU) transformasi dan kestabilan politik yang dimeterai dengan kerajaan pada bila-bila masa, jika ia gagal melaksanakan perkara yang dipersetujui.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, terdapat klausa keluar daripada MoU itu jika kerajaan ingkar dan tidak mematuhi semua terma perjanjian.

Katanya, pembangkang akan memantau pelaksanaan semua terma yang dipersetujui dalam MoU itu dalam tempoh 10 bulan yang dilihat cukup ntuk menjayakan hasrat itu.

“Jika perkara ini dibawa ke mahkamah kerana kerajaan gagal melaksanakan perkara yang dipersetujui, PH tidak boleh pun tuntut ganti rugi.

“Tetapi kesannya jika siapa yang mungkir janji akan berdepan kemarahan rakyat. Jika MoU tersebut berjaya, ini adalah untuk manfaat rakyat keseluruhannya, bukan untuk manfaat perdana menteri,” katanya dipetik Utusan Malaysia selepas menyerahkan bakul makanan kepada lebih 20 ibu tunggal dan keluarga yang terputus bekalan makanan di Taman Kota Puteri, Pasir Gudang, Johor.

Isnin lalu, sejarah baharu politik tanah air tercipta apabila buat pertama kalinya kerajaan persekutuan dan gabungan pembangkang utama memeterai MoU bagi membentuk kerjasama dwipartisan.

Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, MoU itu merangkumi enam aspek, iaitu Pemerkasaan Pelan Covid-19, Transformasi Pentadbiran, Pembaharuan Parlimen, Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia MA63 dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.

Dalam pada itu, Hassan menempelak dakwaan bahawa PH hilang peranan semak dan imbang, malah tidak lagi lantang kerana dianggap menjadi “sebahagian” daripada kerajaan.

“Ini tidak betul. PH tetap meneruskan peranan semak dan imbang sebagai satu blok parti pembangkang yang terbesar di Parlimen. Menerusi usaha ini, kita dapat melaksanakan agenda reformasi yang diperjuangkan selama ini.

“Antara agenda reformasi PH yang kerajaan setuju laksanakan dalam MoU itu adalah pelaksanaan Rang Undang-undang Antilompat Parti dan Undi18. Kerajaan setuju kerana berada dalam keadaan lemah dan tidak mahu tumbang,” katanya.

 



Comments
Loading...