Kerajaan 30 hari jika tanpa MoU – Tajuddin


Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berdepan risiko menjadi ‘kerajaan 30 hari’ jika tidak menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Pakatan Harapan (PH),” kata Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

(Suara TV) – Memetik Utusan Malaysia, beliau mendakwa, tindakan segera itu dilihat sebagai jaminan kerana bilangan yang menyokong kerajaan sangat tipis dengan jumlah 114 sokongan, sekali gus boleh tumbang bila-bila masa.

“Masing-masing nak gunakan kesempatan ambil peluang ini untuk mengukuhkan parti masing- masing. Untuk apa? Persediaan nak menghadapi pilihan raya umum tidak lama lagi, apa dia kaedah yang diperoleh parti kerajaan? Apa yang dibuat oleh parti pembangkang? MoU lah. Kalau parti pembangkang dapat peruntukan sama dengan kerajaan, bermakna RM3 juta setiap kawasan, mereka nak berkempen habis-habis, habislah kerajaan.

“Tapi nak buat macam mana? Kalau nak, kita kena bersetuju tawaran itu. Kalau tidak, kita akan ada Perdana Menteri dua minggu sahaja lah. Keuntungan bagi pihak kita, tidak diganggu. Maknanya kita stabil sampai Julai tahun depan.

“(Tanpa MoU) hari ini kita nak lalui hari mendatang pun tercungap-cungap,” katanya.

Tajuddin berkata, beliau memahami keadaan Perdana Menteri yang ‘tersepit’ dalam membuat keputusan kerana dalam masa yang sama, Ismail Sabri perlu menjaga kepentingan parti dalam politik.

“Kita sebagai pemimpin memang kena jaga kepentingan parti dan dalam masa yang sama perlu diingat yang kita adalah pemimpin kerajaan. Dia ada dua ‘topi’, satu kerajaan, satu parti. Parti ini ada tatakelola dia sendiri.

“UMNO? Setakat ini okeylah,” ujarnya ringkas.

Terdahulu, ditanya sama ada UMNO mempunyai masalah dengan dasar kerajaan yang diputuskan Ismail Sabri tanpa perbincangan dengan parti.

Mengulas lanjut, katanya, meskipun dilihat keputusan Perdana Menteri membelakangi parti, ia mengambil kira semangat menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong supaya mengadakan persefahaman dengan semua pihak termasuk bersama pembangkang.

“Memang nampak mendahului parti, tetapi niat dia baik. Yang di-Pertuan Agong pun dah menasihatkan supaya ada kerjasama dengan pembangkang, jadi dia nak respons pada perkara itu dan dia buat cepat kerana Parlimen dah nak mula bersidang ketika itu.

“Jadi di situ akan wujud satu kestabilan politik yang mengambil konsep ‘menang-menang’ antara kedua-dua pihak,” katanya lagi.

Kerajaan Persekutuan dan PH pada minggu lalu melakar sejarah negara dengan memeterai MoU Transformasi dan Kestabilan Politik yang berlangsung di Parlimen.

Perdana Menteri berkata, MoU tersebut merangkumi enam perkara termasuk Pemerkasaan Pelan Covid-19, Transformasi Pentadbiran serta Pembaharuan Parlimen.

Tiga lagi adalah kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.



Comments
Loading...