Dr M: Parti-parti cantum bentuk k’jaan lepas PRU bukan lompat


(Malaysiakini) – Dr Mahathir Mohamad (Pejuang-Langkawi) berkata parti-parti politik yang bergabung untuk membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum tidak patut ditakrifkan sebagai kegiatan melompat parti.

Bekas pedana menteri itu berkata cadangan mewujudkan Akta Anti Lompat Parti tidak boleh digubal hanya semata-mata untuk mengharamkan ahli parlimen lompat parti, menggesa kajian lebih mendalam dilakukan.

Menurutnya, perlu ada satu ketetapan mengenai takrifan melompat parti.

“Kita perlu mengadakan undang-undang yang melarang lompat-lompat. Namun demikian ia tidaklah semudah itu dengan hanya mengharamkan acara lompat-melompat.

“Kerana adakalanya apabila diadakan pilihan raya, tidak ada satu pun parti yang memperolehi cukup bilang untuk mendiri kerajaan.

“Perbuatan cantuman antara parti lain dengan parti yang terbesar tidaklah sesuatu yang boleh ditafsir sebagai melompat kalau ianya dilakukan dengan cara yang tersusun mengikut peraturan-peraturan yang di bawah perlembagaan parti-parti berkenaan.

“Sebab itu kita tidak boleh semata-mata mengharamkan lompat-melompat. Sebaliknya perlu menjelaskan waktu mana kita mentafsirkan sesuatu itu sebagai melompat dan tidak dengan sewenang-wenangnya menuduh bahawa lompatan telah dilakukan,” kata ahli parlimen Langkawi itu ketika sesi perbahasan titah di-Raja di Dewan Rakyat, pagi tadi.

Sebelum ini, beberapa ahli parlimen daripada pembangkang dan Umno mencadangkan agar kerajaan perlu mewujudkan satu undang-undang untuk mengekang ahli parlimen lompat ke parti lain.

Menurut ahli parlimen berkenaan, akta itu perlu diwujudkan kerana amalan lompat parti bukan saja tidak adil kepada rakyat, tetapi juga terhadap parti politik yang telah berbelanja besar bagi perolehan data dan hal-hal lain ketika PRU.

Sementara itu, Dr Mahathir menggesa supaya cadangan akta anti lompat parti perlu dikaji secara mendalam.

Menurutnya, tindakan ahli parlimen menyertai parti baru selepas dipecat daripada parti yang sedia ada tidak boleh dilihat sebagai lompat parti.

“Kita dapati ada parti yang akan memecat ahli-ahlinya kerana sebab-sebab tertentu. Tetapi, ini bukanlah acara melompat dari satu parti ke parti yang lain.

“Sebab itu soal lompat-melompat antara parti ini perlu dikaji lebih mendalam supaya ia membolehkan dewan ini bergerak dengan licin tanpa gangguan oleh perbuatan mana-mana pihak daripada ahli-ahli Dewan Rakyat ini,” katanya.

Untuk rekod, selepas PRU14 seramai 15 ahli parlimen Umno dan 14 ahli parlimen PKR telah keluar daripada parti masing-masing dan menyertai parti lain setakat ini.

 



Comments
Loading...