Bukti keabsahan, Ku Li gesa undi percaya segera terhadap Ismail


(FMT) – Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah menggesa undi percaya terhadap Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob diadakan segera bagi menguji jumlah sebenar sokongan dimiliki Ahli Parlimen Bera itu.

Katanya, walaupun surat cara pelantikan dan istiadat mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia sudah dilakukan dan diperkenan Agong pada Sabtu lalu, ia hanya untuk satu ketika.

Tengku Razaleigh yang lebih dikenali sebagai Ku Li berkata, undi percaya perlu diadakan untuk memastikan keabsahan sekali gus membolehkan perdana menteri menerajui negara tanpa sebarang gangguan oleh mana-mana pihak.

“Sekiranya pengundian berlaku, (undi) percaya atau tidak percaya dua hingga tiga minggu selepas angkat sumpah dalam keadaan di mana sokongan kepada perdana menteri dan kerajaan sudah berubah dan telah mengalami kekalahan, jelas sekali perdana menteri dan Kabinet itu mesti berundur kerana sudah ditolak oleh Dewan Rakyat,” katanya menurut laporan Astro Awani.

Ismail dilantik sebagai perdana menteri selaras Perkara 40(2) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan bagi menggantikan Muhyiddin Yassin, yang meletak jawatan pada 16 Ogos selepas kehilangan majoriti sokongan ahli Dewan Rakyat.

Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin, yang juga Ahli Parlimen Pagoh, tumbang selepas 15 Ahli Parlimen Umno mengisytiharkan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan beliau.

Pada 19 Ogos, 114 Ahli Parlimen yang menzahirkan sokongan mereka kepada Ismail, dititahkan menghadap Agong di Istana Negara bagi mengesahkan pilihan mereka.

 



Comments
Loading...