Ambiga mulakan petisyen gesa penubuhan k’jaan perpaduan


(Malaysiakini) – Bimbang dengan kombinasi politik toksik dan ketidakcekapan pentadbiran di tengah-tengah wabak Covid-19 – yang kini telah meragut 13,000 nyawa di Malaysia, Ambiga Sreenevasan telah memulakan petisyen agar ahli politik mengutamakan rakyat berbanding diri mereka.

Menekankan kestabilan politik penting pada masa ini, petisyen itu menggesa perdana menteri baru nanti menubuhkan sebuah kerajaan perpaduan.

“Kita berdepan krisis terbesar dalam hidup kita.

“Namun kita perlu menghadapi politik toksik dan, malangnya, ketidakcekapan dalam menangani wabak,” katanya kepada Malaysiakini.

Bekas pengerusi Bersih itu – gabungan NGO yang berperanan mengubah landskap politik negara – berkata perdana menteri baru nanti merupakan perdana menteri ketiga sejak PRU14 pada 2018.

Namun tiada keamanan di kalangan ahli politik. Mereka tidak mampu melangkaui perbezaan mereka. Sebaliknya, mereka menjadikan situasi buruk bertambah buruk.

“Jadi, sudah tiba masanya mereka didesak untuk bekerjasama. Masa untuk mereka utamakan kita, bukan diri sendiri. Negara ini perlu kembali pulih,” katanya lagi.

Bekas presiden Majlis Peguam itu yakin kerajaan perpaduan akan menamatkan perseteruan politik dan melibatkan unsur-unsur terbaik daripada semua parti.

“Tidak akan ada ‘katak’, tiada usaha membeli sokongan, tiada kerajaan yang goyah.

“Hanya kesemua mereka bekerja untuk rakyat untuk menyelamatkan negara ini daripada menghampiri kemusnahan. Bukankah itu yang patut menjadi tumpuan sebuah kerajaan?”

Kurangkan jawatan, tambah penyertaan wanita

Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob dilihat berkemungkinan besar dilantik sebagai perdana menteri kesembilan selepas mendapat sokongan 114 ahli parlimen.

Semalam, Ambiga dan beberapa individu lagi berkata kenyataan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menjadikan sokongan yang diterima Ismail sepatutnya dianggap tidak sah.

Meletakkan jawatan pada 16 Ogos lalu, Muhyiddin berkata sokongan partinya terhadap Ismail berdasarkan syarat yang ahli politik yang berdepan pertuduhan jenayah di mahkamah tidak boleh dilantik ke dalam kabinet.

Ia dilihat bertentangan dengan surat Yang Dipertua Dewan Rakyat Azhar Harun kepada ahli parlimen, yang menjelaskan syarat ditetapkan Istana Negara berhubung bentuk surat yang perlu ditulis ahli-ahli parlimen.

Perkara 4(c) surat tersebut meminta ahli parlimen menyatakan identifikasi yang secukupnya seorang sahaja ahli Dewan Rakyat yang diberikan kepercayaan, penyataan kepercayaan yang terang, jelas dan tanpa syarat untuk dilantik sebagai perdana menteri.

Sementara itu, petisyen Ambiga menyatakan penting untuk kerajaan yang kukuh dan stabil diwujudkan sepanjang tempoh penggal ini sehingga PRU seterusnya.

“Kerajaan ini mesti dianggotai oleh perwakilan dari semua parti politik dari kedua-dua pihak dan disubjek kepada pengawasan Parlimen, dengan fokus utama untuk mengemudi negara ini untuk keluar dari pandemik dan ketidakpastian politik.

“Lebih ramai wanita harus dilantik dalam kerajaan ini,” menurut petisyen itu.

Ia juga mendesak jawatan dalam kabinet kepada yang perlu sahaja “bagi mencerminkan matlamat dan langkah berjimat cermat yang harus senantiasa dijunjung dan dipatuhi kerajaan”.

Dalam perkembangan berkaitan, satu lagi petisyen yang menolak Ismail sebagai perdana menteri telah mendapat 300,000 tandatangan, setakat tengah malam tadi.

Petisyen itu mendakwa Ismail gagal menguruskan krisis Covid-19 ketika menjadi menteri kanan dalam pentadbiran Muhyiddin.

Ia juga merujuk kenyataan yang pernah dibuat Ismail sebelum ini, yang didakwa sebagai bersifat perkauman dan membangkitkan kemarahan pelbagai pihak, termasuk Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan.

 



Comments
Loading...