Pemimpin PKR bertungkus-lumus dapatkan sokongan 15 MP kem Zahid


(Agenda Daily) – Selepas berjaya mendapatkan sokongan Warisan untuk menyokong calon Perdana Menteri (PM) tunggal mereka Datuk Seri Anwar Ibrahim, kini pemimpin PKR sedang berusaha keras mendapatkan sokongan 15 Ahli Parlimen (MP) yang berada dalam kem Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Agenda Daily difahamkan beberapa pemimpin utama PKR sedang giat mendapatkan nombor telefon pemimpin berpengaruh dalam UMNO bagi berunding dengan 15 MP UMNO untuk mencukupkan jumlah majoriti yang diperlukan.

Operator utama yang digunakan PKR ketika ini menerusi seorang orang kanan Anwar yang juga MP di Kuala Lumpur yang sedang giat menghubungi individu-individu penting dalam UMNO, ia bagaimanapun masih dalam perundingan ketika ini.

Jelas sumber, kumpulan kleptokrat adalah kumpulan yang paling mudah untuk dirundingi kerana mereka memiliki liabiliti terpalit dengan kes mahkamah.

Untuk rekod, Anwar sudah menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada Presiden Warisan Datuk Seri Shafie Apdal.

Terdahulu, Agenda Daily melaporkan Anwar difahamkan sudah berjaya dalam rundingan politik dengan Shafie untuk menyokongnya sebagai PM baharu, bagaimanapun masih menunggu persetujuan dengan 15 MP kem Zahid.

Ketua Pembangkang tersebut memerlukan sokongan 15 MP yang sebelum ini juga menjadi punca kejatuhan dan kehilangan majoriti kerajaan Perikatan Nasional (PN) dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi mencukupkan majoritinya untuk menjadi PM ke-9.

Rundingan dengan 15 MP tersebut mungkin dilakukan menerusi perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) yang sebelum ini pernah dicadangkan antara kerajaan PN dengan blok pembangkang sebelum ini.

Menurut sumber, rundingan dengan 15 MP tersebut masih berlangsung dan setakat ini belum menerima sebarang kata putus daripada Presiden UMNO, Zahid.

 



Comments
Loading...