Umno tarik sokongan bukan mahu Anwar jadi PM, mereka mahu kuasa


(Malaysia Dateline) – Langkah Umno menarik sokongan dari kerajaan Perikatan Nasional (PN) seperti dijangka hanya mahu memastikan parti itu kembali berkuasa dan menjadi Perdana Menteri.

Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional Khalid Samad berkata, mustahil Umno mahu menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri kerana Umno pun sememangnya mahu menguasai kedudukan itu.

Bagaimanapun beliau berkata, Umno tidak boleh memimpin tanpa sokongan blok terbesar ketika ini iaitu Pakatan Harapan (PH) yang mempunyai 89 Ahli Parlimen.

Bahkan katanya, Umno tidak mungkin meminta sokongan Bersatu selepas mereka sendiri mengkhianati Tan Sri Muhyiddin Md Yasin.

“Kita tahu bahawa Umno tarik sokongan bukan kerana dia nak sangat Anwar jadi PM. Kita jangan terlalu naif sehingga kita menganggap Umno sokong nak letakkan Anwar sebagai PM.

“Tapi lebih kepada kemungkinan mereka nak jatuhkan Mahiaddin supaya mereka pula nak jadi PM. Mereka dah telah letak nama Tengku Razaleigh sebagai satu-satunya calon, ini yang kita baca dalam media.

“Tapi Umno pun tak boleh kembali memimpin tanpa sokongan PH. Mungkin dia akan berunding dan memecahbelahkan PH. Jadi kita perlukan strategi.

“PH perlu berunding dengan parti-parti lain termasuk pihak Mahiaddin yang dikhianati Umno,” katanya dalam Bicara YB Khalid Samad di Facebook Jom Channel malam tadi.

Pada masa sama, Khalid juga menasihatkan agar Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yasin untuk mengambil langkah sama seperti Tun Dr Mahathir Mohamad yang meletakkan jawatan sejurus mengetahui dirinya tidak lagi mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen.

Beliau mengulangi pendirian agar Muhyiddin mengambil tanggungjawab untuk tidak terus mempertahankan kedudukannya yang sudah jelas tiada sokongan selepas 14 Ahli Parlimen Umno menarik diri dari kerajaan.

“Bila hilang majoriti, memanglah Mahiaddin nak diberikan masa supaya boleh buat jual beli durian. Tapi itu tidak mengikut Perlembagaan.

“Kalau dia bertanggungjawab, dia patut buat macam Tun buat iaitu letak jawatan dan biar Ahli-ahli Parlimen berunding kembali,” ujarnya.

 



Comments
Loading...