No Anwar No DAP hanya sentimen UMNO, Zahid boleh ubah, kata PH


(Agenda Daily) – Laungan ‘No Anwar No DAP’ dibawa UMNO hanya berbentuk sentimen dan boleh berubah, sekali gus menjayakan kerjasama parti itu dengan Pakatan Harapan (PH) yang turut disertai parti cauvinis DAP.

Malah, tindakan beberapa Ahli Parlimen (MP) UMNO diketuai presiden parti itu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, boleh mendorong mereka bekerjasama dengan PH bagi membentuk kerajaan.

PH dipimpin Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim turut dianggotai DAP dan AMANAH. Gabungan parti itu telah bersetuju memilih Anwar sebagai calon Perdana Menteri.

Kumpulan Zahid yang minoriti di kalangan MP UMNO pula yang sekarang ini dilihat bersendirian, dan hanya dibantu oleh pemimpin yang kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Tidak menolak kemungkinan kumpulan Zahid perlu memberi sokongan kepada DAP apabila menyertai PH, Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berpendapat gabungan sedemikian tidak mustahil berlaku.

Lagi pula laungan ‘No Anwar No DAP’ itu hanya sentimen kebencian semata-mata dan bukan menjadi dasar UMNO, katanya dipetik dalam wawancara bersama Mingguan Malaysia hari ini.

“Saya cuma nak sebut begini, ‘No Anwar, No DAP’ itu saya tak percaya ia dasar parti, saya cuma kata itu sentimen dalam parti. Ada beza dasar dengan sentimen, dasar ia kekal, sentimen ini pula boleh hilang, tak kekal.

“Sekarang, apa dasar yang mengikat gabungan PH? Mengiktiraf Islam agama Persekutuan. Kedua, memperakui peranan institusi raja-raja Melayu. Perkara 153, kedudukan istimewa Melayu dan hak bumiputera lain, dan keempat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Itu dasar. Kemudian apa lagi? Amalan pentadbiran dan tata kelola kerajaan yang baik.

“Tengok pula pada UMNO, Fasal 3 Perkara 3 dalam perlembagaan mereka, tujuan UMNO ditubuhkan adalah untuk menegak, mengembang dan mempertahankan Islam. Kalau dasar kita tadi, Islam sebagai agama, UMNO ada dalam Fasal 3 Perkara 3, bukankah itu titik temunya?” katanya.

Menjadikan gabungan UMNO dan PAS di dalam Muafakat Nasional (MN) sebagai contoh, Saifuddin tidak menolak kemungkinan kumpulan Zahid juga boleh bekerjasama dengan PH.

“Cuba kita lihat PAS dengan UMNO, berdekad-dekad pertarungan ini membelah masyarakat daripada atas sampai bawah. Tadika, ada Kemas dan Pasti, khemah kenduri, ada khemah PAS dan khemah UMNO, masjid ada PAS dan UMNO. Baik, itu dasar atau sentimen?

“Ternyata, selama ini kita ingat dasar, rupanya tidak. Sentimen saja,” katanya.

Zahid sebelum ini dilihat cuba mengheret UMNO untuk bekerjasama dengan PH menerusi hubungan baiknya dengan Anwar.

Malah, ketika UMNO mengadakan Perhimpunan Agung (PAU) 2020 pada Mac lalu pun Zahid dan Anwar berbual menerusi telefon merancang strategi politik mereka.

Strategi itu diteruskan dengan menganggu-gugat kerajaan PN dengan yang terakhir ialah membuat keputusan kali ketiga menarik sokongan terhadap kerajaan dan Perdana Menteri dengan harapan ramai MP UMNO akan berbuat demikian dan meletak jawatan daripada kerajaan.

Namun, sebaliknya yang berlaku, majoriti MP UMNO kekal bersama kerajaan PN dan Muhyiddin, sementara Zahid dan kumpulannya kini berdepan dengan lebih 100 UMNO bahagian yang bangkit mendesak beliau meletak jawatan.

Selain itu, Zahid juga tidak mempunyai hala tuju yang jelas sekiranya kerajaan PN ditumbangkan, dan ini didedahkan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO lalu saya tanya jika semua ahli Parlimen menarik diri apa perancangan seterusnya? Jika kerajaan tumbang apa untungnya kepada UMNO?,” kata beliau yang kini diberi kepercayaan menduduki kerusi Timbalan Perdana menteri.

Ismail Sabri mendedahkan Zahid tidak menjawab berhubung perancangan parti seterusnya selepas menarik sokongan daripada kerajaan PN.

 



Comments
Loading...