Muhyiddin kekal PM sehingga ditentukan Dewan Rakyat, kata Peguam Negara


(FMT) – Pejabat Peguam Negara mengesahkan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, dan Jemaah Menteri masih kekal untuk terus menjalankan kuasa eksekutif Persekutuan.

Dalam satu kenyataan, Idrus Harun berkata, buat masa ini, kerajaan tidak mempunyai apa-apa fakta jelas menunjukkan Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat.

“Kerajaan sedia ada yang telah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong menurut Perkara 43(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.

“Buat masa ini kerajaan tidak mempunyai apa- apa fakta jelas yang menunjukkan bahawa Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, penentuan sama ada seseorang itu mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat hendaklah ditentukan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat sendiri dan bukan melalui kenyataan sesuatu parti politik ataupun mana-mana pemimpin parti politik.

Semalam, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataannya berkata, Umno secara rasmi menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin, dan mahu presiden Bersatu itu meletakkan jawatan.

Perkara itu diumumkan Ahmad Zahid pada sidang media seusai mesyuarat lebih empat jam Majlis Kerja Tertinggi Umno, melewati tengah malam tadi.

“Tempoh memberikan sokongan kepada Muhyiddin selaku Perdana Menteri ditarik balik dan ditamatkan serta-merta.

“Umno mendesak agar Muhyiddin dapat berundur secara terhormat bagi membolehkan seorang Perdana Menteri baharu dilantik untuk suatu tempoh yang terhad,” katanya.

 



Comments
Loading...