Seramai 30 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) difahamkan telah menandatangani surat akuan menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk kekal sebagai Perdana Menteri dalam satu pertemuan sulit di Wisma Perwira, Kementerian Pertahanan, pada Ahad malam.

(Astro Awani) – Sumber Ahli Parlimen BN yang dipetik Sinar Harian berkata, pertemuan sulit itu diadakan bermula jam 9 malam dan dipengerusikan oleh Pengerusi Kelab Penyokong Ahli Parlimen BN (BN Backbenchers), Datuk Seri Shahidan Kassim.

Jelas sumber itu lagi, surat akuan mempertahankan kedudukan Muhyiddin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) terpaksa disediakan mereka memandang terdapat usaha pihak tertentu cuba menafikan sokongan 40 ahli Parlimen BN terhadap kerajaan PN sebelum ini.

“Pertemuan itu dimulakan dengan majlis makan malam sebelum 30 Ahli Parlimen BN yang hadir bersetuju menandatangani surat akuan mempertahankan Muhyiddin dan kerajaan PN.

“Pertemuan itu juga dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Arau (Shahidan) dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diberi ruang untuk memberi ucapan alu-aluan.

“Baki 10 Ahli Parlimen BN yang menyatakan sokongan sebelum ini tidak dapat hadir kerana notis pertemuan sulit itu diberitahu kepada mereka pada saat akhir.

“Namun, kesemua mereka dijamin akan menandatangani surat berkenaan melalui wakil yang telah dipertanggungjawabkan,” kata sumber Ahli Parlimen BN berkenaan kepada Sinar Harian Premium pada Ahad malam.

Terdahulu, Ismail Sabri dalam satu kenyataan mengesahkan isi kandungan surat yang mengatakan 40 ahli Parlimen BN kekal menyokong kerajaan PN dan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri adalah sahih.