Zahid, timbalan menteri antara MP positif Covid-19


(Malaysiakini) – Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Mansor Othman adalah antara ahli parlimen yang positif Covid-19 menjelang persidangan Parlimen Isnin ini, maklum sumber dalaman yang memberitahu Malaysiakini.

Laporan Utusan Malaysia memetik sumber mengatakan bahawa Ahli Parlimen Bachok Nik Abduh Nik Aziz juga positif. Sumber yang bercakap dengan Malaysiakini juga memaklumkan perkara sama.

Bagaimanapun, Nik Abduh menafikan perkara ini. Dia memberitahu Harian Metro bahawa ada keraguan pada mulanya, namun akhirnya ujian calitan menunjukkan dia negatif.

Sementara itu, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Zuraida Kamaruddin mengesahkan dengan Malaysiakini bahawa dia adalah salah seorang kontak rapat Mansor.

Sementara itu, laporan Utusan Malaysia turut menyatakan bahawa Timbalan Speaker Rashid Hasnon merupakan kontak rapat dengan pesakit Covid-19.

Bagaimanapun, seorang pegawai dari pejabat timbalan speaker menafikan bahawa Rashid menjadi kontak rapat pesakit Covid-19.

Dia juga mengatakan bahawa Rashid dan semua pegawainya telah diuji negatif Covid-19.

Sebelum ini terdapat spekulasi bahawa Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa juga positif Covid-19, tetapi sumber yang dekat dengannya kemudian menafikan perkara ini.

Menteri itu dikuarantin pada 15 Julai setelah pegawai khasnya positif Covid-19.

Tidak jelas jumlah ahli parlimen lain yang diuji positif atau harus dikuarantin kerana kontak rapat.

Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim memberitahu Malaysiakini bahawa mereka yang positif mesti memaklumkan status mereka agar kontak rapat dapat diuji.

Ahli parlimen berkenaan tidak akan dapat mengambil bahagian secara maya dalam sidang parlimen minggu ini, kerana perintah tetap Dewan Rakyat belum diubah untuk membolehkan persidangan hibrid.

Parlimen bersidang selama lima hari mulai Isnin.

Agenda setakat ini adalah mendengar taklimat daripada kerajaan mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN), yang dijangka turut melibatkan perbahasan.

Sebelum ini, dilaporkan bahawa Dewan Rakyat mempertimbangkan untuk hanya membenarkan 80 ahli parlimen masuk ke dalam dewan pada satu masa.

Menurut Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun, 35 ahli parlimen hanya menerima satu dos vaksin, sementara empat yang lain belum diberi vaksin atas sebab-sebab tertentu.

Seratus lapan puluh satu ahli parlimen lain sudah divaksin sepenuhnya.

 



Comments
Loading...