Anggota Kabinet, termasuk dari Umno sebulat suara sokong Muhyiddin kekal PM


(Malaysia Now) – Ahli-ahli jemaah menteri sebulat suara untuk kekal memberi sokongan penuh kepada kepimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam mesyuarat Kabinet hari ini.

Dalam kenyataan hari ini anggota Kabinet memaklumkan bahawa, setiap keputusan kerajaan dibuat secara kolektif setelah mengambil kira pandangan semua pihak.

“Keutamaan kerajaan ketika ini adalah untuk menjayakan Pelan Pemulihan Pemulihan Negara (PPN) demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara serta membawa negara keluar dari pandemik Covid-19.”

Deklarasi sokongan terhadap Muhyiddin ini dilakukan selepas seminggu Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan penarikan semula sokongan parti itu terhadap Muhyiddin selepas mempengerusikan mesyuarat bersama Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno.

Dalam kenyataannya, Zahid berkata Muhyiddin gagal melaksanakan syarat-syarat yang menjadi dasar Umno menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN), mendesak perdana menteri untuk meletakkan jawatan serta-merta dan mahu seorang perdana menteri sementara dilantik.

Bagaimanapun, MalaysiaNow melaporkan majoriti ahli Parlimen Umno tetap dengan keputusan untuk tidak menarik sokongan terhadap Muhyiddin mengetepikan pengumuman Zahid tersebut.

https://www.malaysianow.com/berita/2021/07/14/anggota-kabinet-termasuk-dari-umno-sebulat-suara-sokong-muhyiddin-kekal-pm/



Comments
Loading...