Umno terus kekal dalam kerajaan Perikatan Nasional


(Malaysia Post) – UMNO terus kekal dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN), kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Datuk Armand Azha Abu Hanifah.

Menurutnya, mesyuarat MKT Umno semalam memutuskan Umno menarik sokongan terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menuntutnya meletakkan jawatan secara terhormat sebagai Perdana Menteri.

“Pagi ni macam-macam cerita di media sosial tentang penarikan sokongan terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, tetapi (Umno) terus kekal dalam kerajaan PN,” katanya dalam satu kenyataan video hari ini.

Armand menjelaskan, mesyuarat MKT Umno yang berlangsung malam tadi berjalan dengan lancar dan harmoni.

” Semalam mesyuarat MKT berjalan dengan tenang, harmoni, matang dan professional di mana majoriti membahaskan cadangan, pandangan dan kritikan di atas platfotm yang telah diberikan.

” Setiap pandangan, cadangan itu dibincang, dikaji dengan teliti sebelum dibuat sesuatu keputusan,” katanya.

Armand yang merupakan Ketua Umno Bahagian Subang menjelaskan, mesyuarat MKT juga telah mendengar penjelasan Naib Presiden Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang telah mendapat restu daripada Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk menerima lantikan sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) yang baharu, semalam.

“Dalam majlis mesyuarat MKT, Datuk Ismail Sabri menyatakan sebelum beliau menerima jawatan Timbalan Perdana Menteri, beliau telah bertemu empat mata dengan Presiden Umno, di mana beliau bertanyakan setuju atau tidak beliau menerima jawatan tersebut.

“Alhamdulillah, Presiden menerima dokongan dan sokongan untuk beliau menerima jawatan TPM. Malah beliau juga mengambil pendapat daripada mantan Presiden kita, Datuk Seri Najib Razak. Alhamdulillah kedua-dua mereka menyatakan perkara yang sama,” katanya.

Terdahulu, Umno memuktamadkan sokongan terhadap Muhyiddin serta merta lewat malam tadi.

Ianya telah diumum oleh Zahid sendiri dalam sidang media secara maya di Facebook.

 



Comments
Loading...