Rancangan Zahid supaya Umno tolak jawatan nombor 2 kerajaan kini sia-sia


(Malaysia Now) – Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dijangka akan memberi tekanan kepada Ismail Sabri Yaakob ketika pemimpin parti itu bermesyuarat secara maya dalam Majlis Tertinggi Umno malam ini, dilihat sebagai usaha terakhir beliau agar parti itu menolak kedua-dua pelantikan Kabinet dan menarik sokongan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, MalaysiaNow kini difahamkan.

Pelantikan Ismail sebagai timbalan perdana menteri, dan Hishammuddin Hussein sebagai menteri kanan, tidak selari dengan usaha yang dijalankan Zahid dan bekas presiden Najib Razak yang bekerja keras supaya pemimpin Umno meletakkan jawatan Kabinet dan jawatan-jawatan kerajaan yang lain.

“Presiden sedang mengumpulkan orang-orangnya untuk menentang pelantikan itu,” kata sumber Umno yang mengetahui perkembangan dalam parti itu sejak dua hari lalu kepada MalaysiaNow.

“Namun selepas Umno kini diberi jawatan nombor dua pentadbiran kerajaan telah menyebabkan usaha Zahid itu menemui jalan buntu, ia akan lebih sukar untuk beliau meyakinkan pemimpin parti untuk keluar daripada kerajaan.”

Dalam beberapa pertemuan di Kuala Lumpur minggu ini, Zahid mendapat tekanan supaya beliau mengundurkan diri daripada jawatan tertinggi parti itu berikutan kemarahan yang semakin meningkat berhubung bukti-bukti yang menunjukkan sokongannya kepada pemimpin PKR, Anwar Ibrahim.

Sejak tahun lalu, kedua-dua ahli politik itu dan disertai Najib menghidupkan semula pakatan masa lampau mereka ketika berjuang dalam Umno bersama-sama bagi menjatuhkan Muhyiddin.

Zahid dan Najib bukan sahaja mengutus surat ke istana bagi menyatakan sokongan terhadap Anwar untuk menjadi perdana menteri, malahan mereka juga telah bekerja keras supaya perwakilan Umno bersetuju dengan usul keluar daripada kerajaan sewaktu perhimpunan agung parti itu pada Mac lalu.

Walaupun pelantikan Ismail sebagai timbalan perdana menteri mengejutkan banyak pihak, langkah itu dilihat sebagai rancangan besar Muhyiddin bagi mengenepikan Zahid.

“Ia adalah sesuatu yang tidak dijangka, dan perdana menteri memutuskan untuk gunakan kuasanya melantik seorang timbalan perdana menteri dari Umno, sekali gus menepis sebarang tindakan yang bakal diambil Zahid malam ini,” kata sumber Kabinet kepada MalaysiaNow dan menambah kebanyakan menteri juga tidak diberitahu mengenai langkah yang mengejutkan itu.

Lebih daripada itu, sebelum pengumuman pelantikan tersebut hari ini, Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki yang bersekutu dengan Najib menyatakan Majlis Tertinggi Umno memutuskan untuk tidak menerima sebarang kedudukan timbalan perdana menteri, menolak khabar angin mengenai langkah tersebut.

“”Lagipun daripada melobi jawatan TPM, lebih baik melobi PM untuk tambah baik bantuan rakyat termasuk moritorium tanpa faedah terakru, i-Citra, segerakan dan tambah lagi bantuan tunai BPR, BPN, BKC,”kata Ashraf sebelum pengumuman Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini.

Kenyataan beliau mirip dengan reaksi Najib beberapa minit selepas berita mengenai pelantikan Ismail ke jawatan itu tersebar luas.

“”Ingat ada pengumuman baik untuk keadaan Covid, moratorium yang lebih membebankan peminjam atau penambahan i-Citra tapi dapat pengumuman TPM dan menteri kanan baru pulak.”
” kata Najib sebelum menyampaikan ucapan tahniah kepada Ismail dan Hishammuddin.

Seorang ahli Parlimen PKR berkata kenaikan pangkat Kabinet untuk kedua-dua pemimpin Umno itu menjejaskan rancangan Zahid untuk bekerjasama dengan Anwar dan Pakatan Harapan (PH) menjelang persidangan Dewan Rakyat pada akhir bulan ini.

“Dalam beberapa hari ini, Zahid mendekati ahli Parlimen Umno dalam usaha untuk kumpul sokongan kepada Anwar bagi jawatan tertinggi kerajaan. Sekarang, keseluruhan rancangan itu sia-sia,” katanya.

Beberapa tindakan Zahid sejak kebelakangan ini telah menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan banyak pemimpin Umno, termasuk Ahli Parlimen Padang Rengas, Nazri Aziz yang merupakan orang yang bertanggungjawab mengumpul persetujuan kira-kira 25 ahli Parlimen untuk melantik Hishammuddin sebagai jurucakap mereka sekali gus menentang usaha Zahid.

Majoriti ahli Parlimen Umno dipercayai telah mendesak presiden mereka itu untuk mengundurkan diri secara terhormat sebelum sebarang keputusan dibuat untuk merujuk beliau ke lembaga disiplin parti kerana melanggar dasar tiada sebarang kerjasama dengan PKR dan DAP.

Kemarahan mereka juga semakin memuncak berhubung dakwaan Zahid ketika mengadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara kononnya anggota Umno dalam Kabinet dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) telah berikrar untuk meletakkan jawatan mereka pada bulan Ogos.

Laporan polis juga turut dibuat terhadap ketua Umno itu berhubung kemungkinan beliau berbohong terhadap Agong.

https://www.malaysianow.com/berita/2021/07/07/rancangan-zahid-supaya-umno-tolak-jawatan-nombor-2-kerajaan-kini-sia-sia/



Comments
Loading...