Ahli Parlimen, menteri Umno tolak langkah keluar kerajaan ketepi Zahid, Najib


(Malaysia Now) – Ahli-ahli Parlimen Umno hari ini menolak cadangan parti itu untuk keluar daripada kerajaan, mengetepikan presidennya Ahmad Zahid Hamidi susulan tarikh akhir bersama kerajaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, MalaysiaNow dimaklumkan.

Difahamkan ahli-ahli Parlimen Umno termasuk anggota Kabinet dari Umno menemui Zahid, di mana mereka diarahkan untuk membuat persetujuan bagi cadangannya untuk Umno keluar kerajaan pada Rabu ini.

“Semua kecuali Najib Razak dan seorang lagi ahli Parlimen tidak bersetuju dengan langkah tersebut,” kata sumber yang mengetahui tentang mesyuarat hari ini kepada MalaysiaNow.

Satu lagi sumber berkata seorang lagi ahli Parlimen yang bersama Najib dan Zahid itu adalah Ahmad Maslan yang merupakan setiausaha agung Umno, namun MalaysiaNow tidak dapat mengesahkan dakwaan tersebut.

Terdahulu, MalaysiaNow melaporkan Zahid sudah menetapkan 7 Julai sebagai hari terakhir untuk Umno bersama kerajaan, sebagai sebahagian dari beberapa siri percubaan untuk menggulingkan Muhyiddin daripada kerajaan.

Turut dilaporkan presiden Umno itu memaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong ketika mengadap di Istana Negara bahawa semua menteri, timbalan menteri dan pimpinan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dari Umno telah berikrar untuk meletakkan jawatan pada 1 Ogos depan.

Bagaimanapun, semakan MalaysiaNow mendapati tidak wujud ikrar demikian sama ada “secara bertulis ataupun lisan” daripada mereka.

Dalam pada itu, sumber yang mengetahui tentang mesyuarat hari ini berkata Zahid mahu bertemu dengan menteri-menteri dan timbalan menteri dari Umno secara individu bagi mengetahui sama ada mereka bersetuju dengan langkah beliau.

“Namun mereka berkeras untuk bertemu dengan presiden bersama-sama, mengatakan mungkin akan ada ancaman yang akan dibuat jika mereka berjumpa beliau secara berseorangan,” tambah sumber itu lagi.

Sepanjang mesyuarat tersebut, beberapa ahli Parlimen berhujah Umno akan dilihat melarikan diri daripada tanggungjawabnya ketika keluar daripada kerajaan ketika perang melawan Covid-19 masih berlangsung.

“Mereka beritahu Zahid langkah ini tak masuk akal dan langkah ini tidak perlu dibangkitkan lagi (pada tahap ini),” katanya.

https://www.malaysianow.com/berita/2021/07/05/ahli-parlimen-menteri-umno-tolak-langkah-keluar-kerajaan-ketepi-zahid-najib/

 



Comments
Loading...