Kerajaan benar kedai makan, restoran buka 6 pagi – 10 malam


(Agenda Daily) – Kerajaan bersetuju membenarkan kedai makan dan restoran membuka perniagaan mereka mulai jam 6 pagi sehingga 10 malam mulai esok, tatkala Fasa Satu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dikekalkan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sebelum ini operasi premis berkenaan hanya dibenar bermula 8 pagi hingga 8 malam sahaja.

“Setelah mengambil kira rayuan dan pandangan pengusaha kedai makan, sidang mesyuarat bersetuju untuk menukar waktu operasi premis yang menjual makanan bermula jam 6 pagi hingga 10 malam berkuatkuasa 28 Jun 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama beliau berkata, prosedur operasi standard (SOP) PKP 3.0 dikekalkan di mana semua aktiviti sosial dan ekonomi tidak dibenarkan beroperasi kecuali sektor perlu yang disenaraikan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Beliau berkata Fasa 1 PKP menyeluruh dikekalkan dalam PPN sehingga tiga indikator nilai ambang utama dicapai.

“Ketiga-tiga indikator nilai ambang tersebut ialah purata kes harian Covid-19 menurun di bawah 4,000 kes, kadar penggunaan katil di ICU pada paras sederhana serta kadar vaksinasi bagi populasi yang telah menerima dua dos lengkap mencapai 10%.

“Justeru, peralihan daripada Fasa 1 ke Fasa 2 akan mengambil kira ketiga-tiga indikator itu sebelum ia diputuskan.

“Secara keseluruhan, PPN adalah strategi peralihan keluar dari kemelut pandemik Covid-19 yang merangkumi empat fasa melibatkan pelan peralihan fasa PKP secara berperingkat,” katanya.

Ismail Sabri berkata pengekalan tempoh Fasa 1 di seluruh negara seperti yang diumumkan Perdana Menteri, tan Sri Muhyiddin Yassin adalah mengambil kira situasi semasa yang masih belum berjaya untuk beralih ke Fasa 2 apabila graf jumlah kes positif baharu harian menunjukkan trend mendatar.

 



Comments
Loading...