Zahid Hamidi berusaha menjadikan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri


(Utusan) – Tindakan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberi tempoh 14 hari kepada kerajaan agar Parlimen bersidang seolah-olah Presiden UMNO itu cetek ilmu atau buat-buat tidak faham dengan fungsi Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, malah lebih penting daripada itu, Ahmad Zahid seolah-olah bertekad mahu memecahkan kesatuan politik Melayu walaupun ramai rakan-rakan daripada UMNO yang tidak mahu PKR dan DAP kembali ke Putrajaya.

“Negara kita mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen. Yang di-Pertuan Agong bertindak atas nasihat kerajaan, jadi tiada soal derhaka atau tidak. Ini soal pentadbiran kerajaan yang berasaskan perundangan dan perlembagaan.

“Maka apabila tempoh notis memanggil sidang ialah 28 hari, peraturan mana yang dia rujuk untuk mengugut 14 hari?

“Malah, Raja-Raja Melayu menitahkan pentingnya kestabilan politik. Apabila Ahmad Zahid sengaja menggugat kestabilan politik, siapa yang derhaka?” katanya dalam kenyataan hari ini.

UMNO berpendirian tegas mendesak kerajaan menghormati titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-Raja Melayu agar memanggil sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari daripada tarikh kenyataan dikeluarkan parti itu pada Isnin.

Ia dibuat menerusi kenyataan Ahmad Zahid yang berkata, kegagalan kerajaan melaksanakan titah Yang di-Pertuan Agong dianggap satu bentuk penderhakaan dan tidak menghormati institusi Raja-Raja Melayu.

Menurut Wan Saiful, pihaknya percayai pemimpin dan ahli UMNO mempunyai pandangan berbeza dengan Ahmad Zahid apabila mahu penyatuan politik Melayu dan menolak usaha membawa DAP menjadi kerajaan apatah lagi usaha menjadikan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

“Saya juga yakin seluruh jentera Bersatu akan terus memberi tumpuan kepada usaha menjayakan kempen vaksinasi. Tumpuan kita ialah kebajikan rakyat, kesihatan rakyat, dan ekonomi rakyat. Kita tidak mahu perhatian kita terpesong daripada perkara-perkara pokok ini.

“Bagi saya, yang lebih penting ialah kestabilan dan kesatuan agar tumpuan kita kekal kepada rakyat, bukan agenda mana-mana individu,” katanya.

 



Comments
Loading...