PERNYATAAN RASMI PERTUBUHAN CENDEKIAWAN NEGARA MENGENAI PERSIDANGAN PARLIMEN: RAKYAT JANGAN KELIRU, BERI RUANG KEPADA KERAJAAN


Cendekiawan Negara

Kenyataan media Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, pada 16 Jun 2021, telah mencetuskan begitu banyak reaksi dan perbincangan. Kenyataan media ini umumnya dilihat menunjukkan keprihatinan tinggi Yang di-Pertuan Agong terhadap usaha menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Harapan Yang di-Pertuan Agong agar angka jangkitan wabak COVID-19 dapat dilandaikan dengan segera serta pandangan Baginda bahawa Kerajaan perlu bertindak tegas memudahkan birokrasi dan mempercepatkan proses vaksinasi kepada rakyat adalah senada dengan hasrat semua pihak yang turut sama mahukan wabak COVID-19 diatasi dengan secepat mungkin.

Masa sama, timbul kekeliruan di kalangan ahli-ahli masyarakat sehubungan dengan kenyataan media ini, khususnya mengenai pandangan Baginda bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin untuk membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat, termasuk sama ada ia satu dekri atau tidak.

Reaksi rasmi segera Pejabat Perdana Menteri ke atas kenyataan media ini, walaupun agak ringkas, seharusnya mampu meredakan sebarang keraguan, iaitu bahawa “menjunjung titah pandangan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, kerajaan akan mengambil langkah-langkah susulan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara”.

Reaksi Pejabat Perdana Menteri ini HARUS DILIHAT SEBAGAI TINDAKAN PRO-AKTIF KERAJAAN DI DALAM MENGAMBIL LANGKAH-LANGKAH SUSULAN TERHADAP TITAH Yang di-Pertuan Agong.
Sesungguhnya inilah manifestasi kepada tanggungjawab besar yang dipikul oleh peneraju tampuk pemerintahan negara, iaitu bagi memastikan bahawa kesemua prinsip Rukun Negara, khususnya prinsip “Kesetiaan Kepada Raja dan Negara”, prinsip “Keluhuran Perlembagaan” dan prinsip “Kedaulatan Undang-Undang”, akan sentiasa kekal terpelihara pada setiap masa.

Satu fakta asas di dalam pemerintahan negara adalah kita mempunyai sistem Raja Berperlembagaan di mana Perkara 40(1) dan 40(1A) Perlembagaan Persekutuan menggariskan bahawa pada menjalankan fungsi Baginda Yang di-Pertuan Agong hendaklah mengikut nasihat Jemaah Menteri serta bila dinasihati hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu.

Ada ahli akademik dan peguam yang berpendapat bahawa dengan termaktubnya Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 pada 11 Januari 2021 maka Perkara 40(1) dan 40(1A) Perlembagaan Persekutuan mengenai kewajiban Yang di-Pertuan Agong menerima dan bertindak mengikut nasihat tidak lagi terpakai dan Baginda tidak lagi terikat dengan nasihat.

Kononnya termasuk di dalamnya adalah kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil sidang Parlimen di mana ini dikatakan termaktub di dalam Seksyen 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menyatakan Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Baginda.

Begitu juga dengan pendapat bahawa Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat yang dibuat di bawah Perkara 62 Perlembagaan Persekutuan yang menggariskan prosedur-prosedur untuk memanggil sidang Parlimen, termasuk pemberian notis sekurang-kurangnya 28 hari, tidak lagi terpakai ekoran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

Ada dihujahkan juga bahawa Seksyen 18 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menyatakan peruntukan Ordinan ini hendaklah mengatasi mana-mana peruntukan undang-undang bertulis lain yang bercanggah atau tidak selaras dengannya bagi meniadakan kewajiban Yang di-Pertuan Agong menerima dan bertindak mengikut nasihat dalam tempoh darurat.

TIDAK SEWAJARNYA AHLI AKADEMIK dan peguam yang terlatih di dalam bidang undang-undang boleh mengeluarkan pendapat begini sedangkan asas penentangan golongan yang tidak bersetuju dengan Proklamasi Darurat dahulu pun adalah bahawa Proklamasi Darurat akan memberi kuasa wewenang kepada Perdana Menteri, bukan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Malah, dalam kenyataan medianya pada 17 Jun 2021 juga, Majlis Presiden Pakatan Harapan sendiri tetap mengakui mengenai kewajiban Yang di-Pertuan Agong menerima dan bertindak mengikut nasihat ini dengan menyebut bahawa Perdana Menteri perlu menjunjung titah dan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil sidang Parlimen secepat mungkin.

Sebab itulah apa yang dianggap oleh sesetengah pihak sebagai “dekri” ini hanya dinyatakan oleh Yang di-Pertuan Agong sendiri sebagai “pandangan”, malah Baginda sendiri pernah pada 24 Februari 2021 menzahirkan pandangan Baginda bahawa penentuan tarikh sidang Parlimen semasa tempoh darurat berkuatkuasa adalah terletak kepada nasihat oleh Perdana Menteri.

Bagaimana boleh ada hujah YANG MENGATAKAN BAHAWA jika Perdana Menteri dan Jemaah Menteri tidak bersetuju dengan Yang di-Pertuan Agong maka Baginda boleh menggunakan kuasa yang diperuntukkan di bawah Fasal-Fasal (2A) dan (2B) kepada Perkara 150 untuk menggubal ordinan bagi membolehkan Baginda bertindak tanpa nasihat?

BEGITU JUGA dengan pendapat bahawa jika Perdana Menteri dan Jemaah Menteri tidak bersetuju dengan pandangan Yang di-Pertuan Agong supaya persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin maka kita boleh mengadakan pemerintahan tentera di negara ini kerana Baginda merupakan pemerintah tertinggi angkatan tentera.

Selain fakta bahawa hujah-hujah begini tidak diasaskan kepada Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara, telah dinyatakan oleh Pejabat Perdana Menteri bahawa kerajaan menjunjung titah pandangan Yang di-Pertuan Agong dan akan mengambil langkah-langkah susulan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara.

PERTUBUHAN CENDEKIAWAN NEGARA BERPENDAPAT BAHAWA walaupun dalam tempoh darurat ini Yang di-Pertuan Agong, mengikut Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara, masih perlu menerima dan bertindak mengikut nasihat, kerajaan tetap akan menjunjung titah pandangan Yang di-Pertuan Agong, apatah lagi bila titah pandangan Baginda ini sebenarnya adalah selari dengan hasrat kerajaan.

Semua pihak BERKEPENTINGAN SEHARUSNYA MEMBERI RUANG DAN MASA KEPADA KERAJAAN YANG memang mahukan persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin. MASA SAMA, PERTUBUHAN CENDEKIAWAN NEGARA BERPENDAPAT ADALAH menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan persidangan Parlimen ini diadakan secara selamat dan teratur, iaitu selamat dari segi kesihatan dan teratur dari segi menepati kehendak undang-undang dan peraturan.

Sepertimana kerajaan-kerajaan negeri, termasuk yang diperintah oleh Pakatan Harapan, diberi ruang untuk menetapkan persidangan Dewan Undangan Negeri mereka yang jauh lebih kecil skalanya hanya pada Ogos 2021 bagi memastikan kepatuhan kepada kehendak undang-undang dan peraturan dipenuhi, berilah juga ruang sama kepada kerajaan pusat demi maslahat bersama.

PERTUBUHAN CENDEKIAWAN NEGARA kesal dengan hujahan yang sengaja diada-adakan oleh sesetengah pihak sedangkan ia dibuat tanpa berdasarkan kepada fakta tetapi hanya bertujuan untuk mengaburi mata rakyat seolah-olah negara sedang terjerumus ke dalam krisis perlembagaan semata-mata untuk memenuhi kepentingan sempit mereka.

 



Comments
Loading...