Penyokong fanatik Najib ugut rampasan kuasa jika Parlimen tidak dibuka


(Agenda Daily) – Bekas pegawai khas Datuk Seri Najib Razak, Isham Jalil dalam satu video yang dimuatnaik dalam akaun Facebooknya mengancam rampasan kuasa yang berlaku seperti negara jiran bakal berlaku jika kerajaan Perikatan Nasional enggan membuka sidang Parlimen.

Isham berkata rampasan kuasa yang berlaku di Thailand pada 2006 dan 2014 berpunca daripada restu diberikan pihak monarki dan peristiwa tersebut boleh dijadikan iktibar ia juga boleh berlaku di Malaysia.

“Tahun 2006 dengan 2014 ada rampasan kuasa… Rampasan kuasa boleh dikatakan boleh dilihat pemerhati-pemerhati politik berkata rampasan kuasa di Thailand pada 2006 dan 2014 sebenarnya direstui oleh Raja datang daripada monarki.

“Sekarang ini kita lihat di Malaysia… Negara jiran kita telah berlaku dua kali, tak kan kita menjurus kepada situ juga (kudeta). Kita ada krisis politik selepas ini kita nak masuk krisis Perlembagaan sehingga membuka risiko negara kita kepada rampasan kuasa kudeta pula,” katanya dipetik dalam video tersebut.

Isham berkata sekiranya kerajaan masih enggan membuka sidang Parlimen, ia mungkin langkah sama yang berlaku di Thailand perlu diambil untuk memaksa demokrasi dapat dikembalikan.

“Sebab kita terpaksa memaksa orang-orang yang degil ni tak nak juga buka Parlimen.. so kita nak restore balik demokrasi kita terpaksa buat macam Thailand pula,” katanya.

Isham juga membidas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dengan mendakwa kerajaan cuba ingkar dan mahu memaksa Agong untuk mengikut telunjuk mereka.

“Mereka nak push the hand of Agong untuk bersetuju dengan mereka pada hal Agong semalam dah cakap untuk buka segera (Parlimen).

“Balik-balik mereka kata masih September atau Oktober. Mereka ingkar dan mereka nak paksa Agong pula untuk ikut cakap mereka daripada sebaliknya sepatutnya mereka yang perlu ikut titah baginda,” katanya.

Semalam, Raja-Raja Melayu menyokong pendirian Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menitahkan agar Parlimen segera bersidang.

Dalam satu kenyataan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, sementara di peringkat negeri, raja-raja berpendirian agar Dewan Undangan Negeri (DUN) juga boleh bersidang secepat mungkin.

Terdahulu, Putrajaya dalam satu kenyataan juga memberi jaminan akan mengambil langkah susulan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara, berhubung pandangan yang diberikan Yang di-Pertuan Agong, semalam.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini berkata kerajaan mengambil maklum titah pandangan Yang di-Pertua Agong seperti mana yang terkandung dalam kenyataan Istana Negara pada 16 Jun 2021.

 



Comments
Loading...