Zahid rancak berkempen untuk kukuhkan kedudukan, dedah Zahidi


Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Zahidi Zainul Abidin mengingatkan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengenai keputusan PAU 2020 yang menolak Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP.

(Agenda Daily) – Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kini kian rancak mengadakan pertemuan dengan hanya segelintir penyokongnya dalam kalangan pemimpin parti itu, bagi berkempen untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai presiden.

Mendedahkan perkara itu kepada Agenda Daily, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, Zahid kerap mengadakan pertemuan dengan ‘penyokongnya’ semata-mata mahu melihat tahap sokongan mereka terhadapnya, bukannya untuk berbincang soal masa depan parti.

“Datuk Seri Zahid tak panggil menteri, dia panggil penyokong dia sahaja… Nak tengok sokongan itu sahaja.

“Presiden berkempen untuk mengukuhkan kedudukan dia kan, itu sahaja,” katanya yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis itu.

Zahidi mengulas laporan sebuah portal baru-baru ini, berhubung kononnya wujud pertemuan antara Zahid dengan Menteri Kabinet UMNO bagi membincangkan hala tuju negara khususnya melibatkan isu Darurat.

Bagaimanapun, mesyuarat tersebut tidak berjalan dan ia sekadar khabar angin yang sengaja menimbulkan spekulasi pada ketika para pemimpin parti politik dipanggil menghadap di Istana Negara pada ketika itu.

Terdahulu Agenda Daily melaporkan pemimpin senior parti, Datuk Seri Nazri Aziz menggesa Ahmad Zahid supaya memanggil semua Ahli Parlimen (MP) daripada parti itu untuk berjumpa bagi membincangkan hala tuju negara dan juga mendengar pandangan semua pihak.

Bekas ahli Majlis Tertinggi UMNO itu menyifatkan Zahid sebagai seorang yang penakut untuk berdepan semua MP UMNO dan dilihat hanya menerima pandangan penyokongnya sahaja sehingga mengasingkan pertemuan secara senyap-senyap tanpa pengetahuan MP UMNO yang lain.

“Jadi mengapa tak jumpa Ahli Parlimen, takut ke?

“Apa-apa pun kita kena panggil Ahli Parlimen termasuklah Menteri ini apa yang sulit nak diasingkan Ahli Parlimen, jadi saya merasa hairan walau apa pun keputusan yang diambil tak akan mengikat Ahli Parlimen Barisan Nasional yang tidak dipanggil,” katanya kepada Agenda Daily.

Nazri memberitahu menerima maklumat wujud mesyuarat sulit yang sedang dirancang oleh Zahid tetapi ia hanya melibatkan konco-konconya yang juga adalah penyokong tegarnya sahaja.

“Saya dengar (ada mesyuarat) tapi saya merasa hairan kenapa jumpa Menteri jumpalah Ahli Parlimen UMNO-BN nak bincang apa sekalipun, Menteri pun ambil keputusan dia pun berapa orang sahaja,” katanya lagi.

 



Comments
Loading...