Jawatankuasa Khas Bebas termasuk dua wakil pembangkang setuju darurat dilanjutkan


(Agenda Daily) – Jawatankuasa Khas Bebas Darurat dikatakan mencadangkan kepada Yang di-Pertuan Agong supaya tempoh darurat dilanjutkan sehingga hujung tahun sebagai langkah proaktif mencegah penularan pandemik Covid-19.

Jawatankuasa terdiri daripada pakar kesihatan awam, wakil parti politik pembangkang dan kerajaan, tokoh bidang pendidikan, kesihatan, keselamatan, ketenteraman awam, pentadbiran awam dan undang-undang, mufti serta wakil dewan perniagaan, berperanan menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai kewujudan berterusan darurat besar di Malaysia dan penamatannya.

Sumber memberitahu Agenda Daily cadangan itu dikemukakan Pengerusi Jawatankuasa Khas Bebas Darurat, yang juga bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ariffin Zakaria, ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara semalam.

Menurut sumber, majoriti daripada 19 orang yang berada dalam jawatankuasa tersebut bersetuju darurat disambung dan hanya seorang wakil blok pembangkang yang tidak bersetuju, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Dua wakil pembangkang yang berada dalam jawatankuasa tersebut, Anthony Loke dari DAP dan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dari Amanah juga bersetuju tempoh darurat itu dilanjutkan.

Sesi menghadap tersebut berlangsung selepas siri sembah maklum oleh 15 wakil ketua parti pada Rabu hingga Jumaat lalu, sebelum ia berakhir pada Isnin.

Pada 12 Januari lalu, Istana Negara dalam satu kenyataan memaklumkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung wabak Covid-19 di Malaysia.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pengumuman khas darurat pada hari sama menjelaskan bahawa jemaah menteri telah menasihati Yang di-Pertuan Agong mengeluarkan proklamasi darurat bagi seluruh negara menurut Perkara 150(1) Perlembagaan Persekutuan, berkuat kuasa 11 Januari 2021 hingga 1 Ogos 2021.

Difahamkan, cadangan melanjutkan tempoh darurat itu dibincang terlebih dahulu dalam mesyuarat jawatankuasa berkenaan sebelum Ariffin menghadap Agong.

Cadangan itu mengambil kira situasi Covid-19 di seluruh negara yang masih membimbangkan.

Pertemuan dengan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat bagi membolehkan Yang di-Pertuan Agong mendapat maklumat sebelum mengadakan pertemuan khas dengan Raja-Raja Melayu pada Rabu.

Sembilan Raja-Raja Melayu bersidang bermula jam 2.30 petang ini selepas Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selesai bertemu semua pemimpin politik baru-baru ini.

Beberapa pakar daripada agensi kerajaan juga dipanggil untuk memberi sembah taklimat mengenai kesihatan, keselamatan, politik dan ekonomi pada mesyuarat Raja-Raja Melayu itu.

Terdahulu, tiga Ahli Parlimen pembangkang yang menganggotai Jawatankuasa Khas Bebas Darurat mendakwa jawatankuasa itu belum memutuskan bila darurat patut berakhir.

“Setakat hari ini, jawatankuasa ini belum lagi memuktamadkan sebarang keputusan mengenai tempoh melanjutkan atau menamatkan darurat untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah,” kata tiga wakil rakyat Pakatan Harapan itu dalam kenyataan.

 



Comments
Loading...