Zahid perlu buat ‘pengorbanan besar’ demi Umno, kata penganalisis


(FMT) – Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi patut menimbangkan untuk membuat “pengorbanan besar” demi parti itu dan memberi laluan kepada pemimpin lain, kata seorang penganalisis politik.

Bekas profesor politik Mustafa Ishak berkata, hakikatnya Zahid dan Umno akan berdepan tugas sukar untuk mengatasi persepsi berkait perbicaraan beliau membabitkan 47 pertuduhan pengubahan wang dan pecah amanah membabitkan jutaan ringgit daripada Yayasan Akalbudi.

Jika bukan kerana kes rasuah itu Zahid tentu dipilih oleh Umno sebagai calon perdana menteri, kata Mustafa dalam respons terhadap cadangan bekas menteri, Zaid Ibrahim bahawa veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah patut dilantik sebagai perdana menteri sementara untuk memimpin sebuah kerajaan baharu.

Mustafa berkata, walaupun Zahid merupakan presiden Umno, pemimpin lain seperti Tengku Razaleigh, Timbalan Presiden Mohamad Hasan, Naib Presiden Ismail Sabri Yaakob dan bekas naib presiden Hishammuddin Hussein adalah calon yang lebih berkemungkinan bagi jawatan tertinggi itu.

“Saya rasa Zahid turut menyedari keadaan itu dan keperluan untuk beliau mengambil tindakan yang tepat bagi Umno, khasnya jika beliau mahu Umno memperoleh peluang lebih baik untuk memenangi pilihan raya umum akan datang (PRU15) atau mendapat perdana menteri sementara daripada parti itu, jika perlu,” katanya.

Beliau berkata, ini adalah dilema yang dihadapi Umno dan mengapa pemilihan parti itu perlu dipercepatkan.

Katanya, Umno memerlukan seorang pemimpin yang boleh menerajui parti itu mencapai kemenangan, sementara pemimpin yang mempunyai beban politik perlu memberi laluan kepada orang lain demi parti.

Azmi Hassan, bekas pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia bersetuju bahawa kes Zahid akan menyukarkan Umno dalam perang persepsi, walaupun pemilihan parti tidak semestinya menjadi jawapannya.

“Wujud perpecahan dalam Umno, jadi mustahil untuk kita tahu siapakah dalam kalangan pemimpin yang disebut-sebut untuk jawatan presiden itu akan menjadi pemenang,” katanya.

Perpecahan dalam parti itu tambahnya, mungkin bertambah teruk jika pemilihan parti diadakan sehingga menyebabkan Umno menyertai PRU15 dalam keadaan lebih teruk berbanding sekarang.

Azmi berkata, walaupun Zahid boleh kekal sebagai presiden Umno, parti itu perlu menjelaskan pilihan calon perdana menteri mereka dan Zahid tidak patut menjadi orangnya selagi beliau menghadapi perbicaraan di mahkamah.

 



Comments
Loading...