Gagal angkat Anwar jadi PM, PKR mula sangsi kepada Ahli Parlimen sendiri


(Agenda Daily) – Pemimpin dalam PKR kini dilihat telah mula hilang kepercayaan dan berasa waswas terhadap Ahli Parlimen mereka sendiri susulan dakwaan kononnya wujud cubaan untuk mendapatkan jawatan dalam Kerajaan Pusat.

Ini susulan kenyataan Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil yang mendakwa mendakwa ada gerakan pihak tertentu sedang cuba mendapatkan perakuan berkanun (SD) daripada Ahli-ahli Parlimen untuk mendapat jawatan dalam Kerajaan Pusat.

Katanya beliau dimaklumkan gerakan itu dilakukan oleh beberapa Ahli Parlimen yang tidak memegang jawatan utama dalam parti, dan untuk mendapatkan jawatan dalam Kerajaan Persekutuan.

Memetik sumber, Malaysiakini melaporkan perkara itu terjadi di sebalik dakwaan wujudnya pihak tertentu sedang cuba mendapatkan perakuan berkanun (SD) daripada Ahli Parlimen mereka untuk jawatan itu.

Susulan itu wujud kecurigaan mereka kemungkinan beberapa Ahli Parlimen PKR akan melompat.

Pemimpin parti itu juga mula sangsi terhadap Ahli Parlimen yang sebelum ini dikatakan setia kepada bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali.

Mereka yang dikatakan penyokong kuat Azmin adalah Ahli Parlimen Sungai Buloh, Sivarasa Rasiah dan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah.

Maria dan Sivarasa adalah sebahagian daripada kem Azmin ketika pemilihan PKR 2018. Ramai calon daripada kem itu menang dan mendapat tempat dalam kepimpinan PKR.

“Saya dengar kedua-dua anggota Parlimen itu didekati oleh geng (lama) mereka,” kata seorang sumber yang dipetik Malaysia Kini.

Seorang Ahli Parlimen yang dikenali sebagai penyokong setia Anwar turut mengatakan perkara sama, ketika ditanya jika dia ada mendengar bekas sekutu Azmin dalam PKR ditawarkan untuk meninggalkan parti itu.

“Saya belum dapatkan pengesahan mengenai hal ini, tetapi secara teorinya, mereka yang akan jadi sasaran,” katanya yang juga pemimpin PKR.

Susulan tuduhan itu, Maria melahirkan rasa kecewa dan kesan kerana kesetiaannya kepada PKR terus menerus dipersoalkan.

“Tidak. Saya tidak akan melakukan tindakan seperti itu (lompat) kerana keutamaan saya adalah menangani wabak ini (Covid-19),” katanya.

Sivarasa pula dilaporkan terkejut dan menafikan beliau didekati pihak tertentu untuk mendapatkan perakuan berkanun (SD) daripada Ahli Parlimen bagi jawatan dalam Kerajaan Pusat.

“Saya sangat terkejut mendengar nama saya disebut. Sebagai makluman, tidak ada yang menghubungi saya mengenai pembelian MP ini.

“Kali terakhir saya didekati adalah pada Februari tahun lalu, ketika saya ditawarkan untuk meninggalkan PKR. Tetapi saya menolaknya dan sejak itu, tidak ada orang lain yang datang kepada saya untuk membuat tawaran seperti itu lagi,” katanya.

Seorang lagi wakil rakyat yang dakwa mungkin menjadi sasaran adalah Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran tetapi beliau menafikannya.

“Tiada yang dekati saya. Sekiranya ada yang melakukannya selepas ini, saya akan maklumkan kepada anda,” katanya.

 



Comments
Loading...