Cubaan rampas kuasa: ‘Tukar kerajaan tak selesai masalah’


(Agenda Daily) – Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata percubaan merampas kuasa kerajaan tidak mampu mengatasi kemelut politik sebaliknya akan meneruskan masalah dihadapi ketika pandemik Covid-19 sekarang ini.

Beliau berpendapat walaupun sekiranya kerajaan bertukar tangan, kewujudan pentadbiran baharu itu adalah lemah kerana memiliki majoriti yang tipis.

“Yang menjadi masalah politik ialah percubaan merampas kuasa. Malangnya jika Kerajaan ditukar, Kerajaan baru juga akan menjadi lemah kerana majoriti yang tipis.

“Tindakan politik hanya akan meneruskan masalah,” katanya dalam kenyataan hari ini ketika mengulas cadangan beliau supaya kerajaan menubuhkan Majlis Pemulihan Negara.

Sebelum ini Agenda Daily melaporkan cubaan blok pembangkang melakukan ‘rampasan kuasa’ dengan mendakwa kononnya mendapat sokongan Ahli Parlimen melebihi yang dimiliki kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Malah beberapa pemimpin UMNO – parti yang sekarang ini bersama kerajaan PN pimpinan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin – dikatakan turut menandatangani surat sokongan terhadap Ketua Pembangkang yang juga Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri.

Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sehingga kini belum membuat penafian rasmi mereka menandatangani surat sokongan kepada Anwar, yang tersebar luas di media sosial.

Agenda Daily juga melaporkan bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim juga mendedahkan sedikit maklumat mengenai cubaan pihak tertentu mendapatkan tandatangan dan sokongan Ahli Parlimen bagi ‘merampas kuasa’ kerajaan sedia ada.

Mengenai Majlis Pemulihan Negara itu, Dr Mahathir berkata ia tidak akan menggantikan kerajaan sedia ada sebaliknya membantu dalam empat perkara iaitu mengurang kes baharu Covid-19 sehingga tercapai imuniti kelompok.

Katanya, majlis itu juga berperanan memulihkan semula masalah kemerosotan ekonomi dan kewangan negara serta mengkaji dan menangani masalah persekolahan.

“Untuk politik Parlimen akan bersidang dan tindakan Majlis akan dibentang kepada Parlimen. Percubaan untuk hapuskan Majlis Pemulihan Negara tidak akan diusahakan oleh Parlimen,” katanya.

Untuk rekod pada 2019 lalu Dr Mahathir menubuhkan Majlis Penasihat Kerajaan yang bertindak menasihati kerajaan mengenai ekonomi dan kewangan.

Lima pakar terkemuka mengisi jawatan dalam majlis itu dengan dipengerusikan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, manakala ahlinya terdiri daripada bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz; bekas Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Hassan Merican; tokoh korporat, Tan Sri Robert Kuok dan ahli ekonomi terkemuka negara, Prof Dr Jomo Kwame Sundaram.

 



Comments
Loading...