Mahathir dedah cadangan kepada Agong, Anwar hubunginya


(Malaysia Now) – Dr Mahathir Mohamad tidak melihat keperluan kerajaan baru dibentuk dalam suasana sekarang, namun memilih pembentukan sebuah majlis yang mirip dengan Majlis Gerakan Negara (Mageran) yang pernah dibentuk beberapa dekad lalu untuk mengembalikan keluhuran undang-undang selepas rusuhan pada tahun 1969.

Bekas perdana menteri itu berkata beliau mencadangkan perkara tersebut kepada Yang di-Pertuan Agong ketika mengadap hari ini, mengatakan ia lebih baik daripada melaksanakan pilihan raya ketika negara dilanda pandemik.

“Saya beritahu pilihan raya boleh jadi berbahaya kerana kita sudah melihat sendiri apa yang berlaku di Sabah, jadi itulah apa yang saya beritahu kepada beliau,” kata Mahathir pada satu sidang media secara dalam talian hari ini.

Beliau berkata Mageran seperti yang pernah ditubuhkan pada 1969 dan diketuai bekas perdana menteri Abdul Razak Hussein sangat berkesan selain dapat memperkasakan pemimpin-pemimpin pembangkang dengan membawa mereka masuk sebagai sebahagian daripada kerajaan.

“Kita ada beberapa idea, tapi kerajaan tak datang dgn idea untuk selesaikan masalah ini,” katanya.

Mahathir berkata beliau turut menawarkan diri untuk mengetuai Mageran sekiranya ditubuhkan.

“Sebab saya sudah ada di sana, jadi saya tawarkan khidmat saya,” tambahnya.

Mahathir bagaimanapun berkata idea untuk menubuhkan Mageran akan ditolak oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Anwar telefon

Dalam pada itu, Mahathir mengesahkan Pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibrahim menghubunginya sebelum menerima jemputan mengadap Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini.

“Anwar ada telefon saya. Nampaknya dia tak dapat berikan apa-apa cadangan untuk selesaikan masalah yang kita hadapi sekarang ini,” kata Mahathir.

Mahathir berkata mereka sepatutnya menulis kepada Agong untuk tindakan susulan terhadap memorandum bersama yang diserahkan kepada istana untuk mengadap baginda sebelum ini mengenai perintah darurat.

“Jadi saya tulis (kepada Agong). Saya tak tahu sama ada Anwar tulis atau tidak. Agong balas semula surat saya dalam masa yang sama turut beritahu mahu jumpa dengan saya dan pemimpin politik yang lain,” tambahnya.

Mahathir turut menambah perbualan beliau bersama Anwar tidak mengandungi perkara-perkara yang penting.

https://www.malaysianow.com/berita/2021/06/10/mahathir-dedah-cadangan-kepada-agong-anwar-hubunginya/



Comments
Loading...