Kami akan buktikan Zahid guna kedudukan untuk kaut kekayaan – pendakwaan


(Bernama) – Pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menghadapi 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) akan membuktikan bekas Timbalan Perdana Menteri itu menerima suapan jutaan ringgit sebagai upah dan dorongan untuk mengekalkan serta melanjutkan kontrak lantikan syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) berkaitan visa tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Datuk Raja Rozela Raja Toran berkata pihak pendakwaan akan mengemukakan keterangan bahawa Ahmad Zahid, 68, sepanjang tempoh empat tahun sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu telah mengambil kesempatan daripada kedudukannya untuk mengaut kekayaan.

“Tertuduh telah menerima suapan yang melibatkan wang tunai pelbagai mata wang, iaitu dolar Singapura SG$14.71 juta, RM3.125 juta, US$15,000 dan mata wang EURO5,000. Tertuduh menerima wang ini daripada UKSB.

“UKSB adalah sebuah syarikat yang dilantik oleh kerajaan sebagai kontraktor bagi melaksanakan kerja-kerja pembekalan dan perkhidmatan untuk Kementerian Dalam Negeri. Lantikan UKSB telah dibuat mengikut beberapa perjanjian yang dimeterai antara Kerajaan Malaysia dan UKSB,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membacakan ucapan pembukaan kes pada hari pertama perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Yazid Mustafa.

Raja Rozela berkata pendakwaan juga akan mengemukakan keterangan lisan dan dokumen yang akan membuktikan Ahmad Zahid terlibat dan mempunyai pengetahuan tentang perlantikan UKSB sebagai kontraktor.

“Yang Arif juga bakal mendengar keterangan beberapa orang saksi yang akan memperincikan fakta dan hal keadaan tentang bila dan bagaimana wang-wang suapan itu diterima oleh tertuduh. Di akhir kes pendakwaan kelak, Yang Arif akan dapat lihat wujudnya kaitan rapat antara fakta perlantikan UKSB sebagai kontraktor dan fakta penerimaan wang-wang tunai oleh tertuduh.

“Segala keterangan yang bakal dibawa masuk akan membuktikan secara prima facie bahawa tertuduh telah melakukan kesalahan sepertimana yang dinyatakan dalam setiap pertuduhan,” katanya.

Beliau berkata pendakwaan akan memanggil sekurang-kurangnya 20 orang saksi untuk memberi keterangan dan pada perbicaraan hari ini, dua atau tiga saksi dijangka memberi keterangan.

Raja Rozela dibantu TPR Wan Shaharuddin Wan Ladin, Gan Peng Kun dan Lim Wai Keong manakala Ahmad Zahid diwakili peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal dan Hamidi Mohd Noh.

Ahmad Zahid berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB sebagai dorongan untuk dirinya, sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Menteri Dalam Negeri, melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan Sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan di Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 serta boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa sebagai menteri sama telah mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3,000,000, EURO15,000 dan US$15,000 tanpa balasan daripada syarikat sama yang mempunyai hubungan dengan kerja rasmi beliau.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di Country Heights antara Jun 2015 dan Oktober 2017 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, saksi pendakwaan pertama, Muhamad Akmaludin Abdullah, 38, yang merupakan penolong pendaftar syarikat dan perniagaan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) memberitahu mahkamah bahawa UKSB adalah sebuah syarikat sendirian berhad yang menjalankan perniagaan perkhidmatan fasiliti Visa.

“Pemegang saham UKSB terdiri daripada syarikat dan orang perseorangan iaitu HRL Capital Sdn Bhd dengan jumlah saham sebanyak 150,000, Seri Optima Sdn Bhd sebanyak 150,000 dan Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani sebanyak 200,000,” katanya ketika membacakan pernyataan saksinya.

Perbicaraan bersambung esok.

 



Comments
Loading...