Ahmad Zahid beri gambaran politik baharu Perikatan 3.0


(Utusan) – Corak politik negara bakal berubah apabila wujud gambaran UMNO bakal membentuk jajaran politik baharu dinamakan Perikatan 3.0 pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan adanya usaha ke arah itu selepas mempertimbangkan dinamik politik sentiasa tidak menentu.

Jajaran itu juga digambarkan tidak melibatkan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada masa sama Ahmad Zahid tidak mendedahkan parti politik tertentu yang akan bersama dalam gabungan baharu berkenaan.

“Kedinamikan politik pasti berlaku saya lihat, saya bukan seorang nujum politik tetapi saya yakin kalau mahu disebut hala tuju atau kedinamikan itu kita lihat, selepas PRU-15, sama ada ia akan diadakan dalam waktu terdekat, atau dalam tempoh yang hanya Allah sahaja tahu kerana kalau mengikut cukup tempoh pilihan raya adalah pada 2023.

“Pada ketika itu, saya hampir pasti bahawa akan ada sesuatu yang akan berlaku kepada UMNO, sebagai sebuah parti induk orang Melayu dan Islam, di mana ketika itu akan ada Perikatan 3.0 bukan Perikatan Nasional,” katanya semasa wawancara Program 75 Tahun Jubli Intan anjuran UMNO Online semalam.

Spekulasi kerjasama UMNO, DAP dan PKR menggemparkan negara pada Januari lalu susulan dakwaan bekas Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa yang mendakwa wujud percubaan dan rundingan antara parti itu dalam apa yang diistilahkan sebagai pembentukan jajaran baharu politik.

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, percubaan menggugat kestabilan kerajaan PN berkali-kali yang menyebabkan terjejasnya hubungan baik terutama antara UMNO, PAS dan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu).

Soal kerjasama UMNO dan DAP turut timbul ketika krisis pertukaran Menteri Besar Perak, apabila kedua-dua parti menyatakan bersedia bekerjasama membentuk kerajaan negeri namun hal itu tidak menjadi kenyataan.

Pada 8 Disember lalu, Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming menyatakan kesediaan parti itu bekerjasama dengan UMNO dalam pembentukan kerajaan Perak sebagai bukti mereka bukan anti-Melayu dan anti-Islam.

Bagaimanapun, UMNO dikatakan tetap dengan pendirian yang diputuskan pada Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU 2020) iaitu menolak sebarang bentuk kerjasama dengan PKR atau DAP bagi membentuk kerajaan malah Ahmad Zahid sendiri menafikan adanya kerjasama tersebut menjelang pilihan raya.

Ironinya, baru-baru ini tular mengenai klip audio Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Ahmad Zahid yang membuktikan wujud pakatan sulit antara mereka untuk memastikan gerakan tersebut berjaya.

Mengulas lanjut, kata Ahmad Zahid, kedinamikan politik dan perubahan juga berlaku menyorot pembentukan PN yang melalui situasi serupa menyaksikan Bersatu dan UMNO bekerjasama sedangkan kedua-duanya tidak sebulu pada PRU-14.

“Kita harus melihat kewujudan parti Perikatan yang merupakan payung bukan sahaja kepada UMNO tetapi sebagai parti-parti komponen ketika itu, tidak merupakan sebuah gabungan yang statik betulnya, apabila Barisan Nasional (BN) diwujudkan ia merupakan Perikatan 2.0.

“Jadi ini merupakan langkah yang baharu, di mana kita lihat sunnatullah telah menentukan bahawa masyarakat Malaysia penuh dengan kemajmukan,” katanya.

 



Comments
Loading...