UMNO perlu henti cerita nostagia lama


(UTUSAN) – UMNO perlu berhenti untuk terus menceritakan zaman gemilangnya pada satu ketika dahulu sedangkan kedudukan parti kini sangat bergelora dan tidak secerah dulu.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, justeru pemimpin dan ahli UMNO digesa agar tidak terus terbuai dengan nostalgia ketinggalan zaman demi memastikan parti berkenaan relevan dalam persada politik tanah air.

Beliau menjelaskan, perkara itu merupakan antara tiga kelangsungan yang perlu dilakukan oleh UMNO dalam usaha memperbaiki kelemahan parti.

“Jika UMNO terus ingin meraikan ulang tahunnya, tiga perkara penting mesti sentiasa UMNO lakukan iaitu pertama mesti dilihat secocok dengan zaman. Jangan terus terbuai dengan nostalgia ketinggalan zaman. Hentilah cerita zaman gemilang sedangkan kedudukan semasa sangat bergelora dan tidak secerah dulu.

“Kedua, pendukungnya mesti pelbagai generasi. Perubahan generasi itu nyata dan mesti diterima. Idea dan pemikiran politik terbaik bukan lagi diukur pada usia pengucapnya tetapi pada kualiti dan kebernasan idea tersebut.

“Ketiga, nilai dan misi UMNO mesti diperjuangkan oleh mereka yang ikhlas menghidup-hidupkan UMNO. Bukan mereka yang mencari penghidupan daripada parti,” katanya dalam kenyataan bersempena sambutan ulang tahun UMNO ke-75 hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad melahirkan penghargaan kepada seluruh pendukung UMNO kerana masih setia walaupun dalam susah dan payah UMNO kebelakangan ini.

“Insya-Allah dengan bekerja kuat, bersifat terbuka dengan idea dan pemikiran maju serta bersatu padu, UMNO akan pasti menjadi lebih utuh dan baik,” katanya.

 



Comments
Loading...