Majlis Raja-Raja berhak nasihat isu lantikan jawatan penting


(Ismaweb) – Hak Majlis Raja-Raja untuk memberi nasihat berhubung lantikan jawatan penting jarang sekali dibicarakan – meskipun dinyatakan dalam Perlembagaan.

Pakar Perlembagaan, Prof Datuk Dr Shamrahayu Abd Aziz berkata, kuasa dan peranan institusi beraja – terutama Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja – pada peringkat Persekutuan berkaitan lantikan jawatan penting negara, dinyatakan dalam pelbagai peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Jelasnya, kuasa dan peranan ini dimasukkan dalam Perlembagaan Persekutuan atas ketegasan Raja yang menyampaikan hasrat dan kemahuan baginda semua, ketika proses gubalan Perlembagaan Persekutuan sekitar 1956 hingga 1957.

Pada peringkat gubalan Perlembagaan Persekutuan, terma lantikan Suruhanjaya Perlembagaan atau Suruhanjaya Reid, yang dilantik atas perkenan Majlis Raja-Raja, antara lain menyatakan supaya suruhanjaya berkenaan membuat cadangan untuk peruntukan Perlembagaan menjamin kedudukan, kehormatan dan kemuliaan Raja Melayu.

“Selepas mencapai kemerdekaan, perwakilan dalam Parlimen dipilih secara total menerusi pilihan raya, maka parameter Raja Berperlembagaan perlu ditetapkan dalam Perlembagaan merdeka 1957.

“Raja pada ketika itu menjangkakan kuasa Perlembagaan lebih besar daripada yang ada pada pandangan Parti Perikatan dan Suruhanjaya Reid sendiri.

“Raja memberikan tentangan bersungguh-sungguh terhadap usaha mengurangkan kuasa baginda. Selepas bersusah payah menegaskan kuasa baginda, pada peringkat Jawatankuasa Kerja, Raja berjaya menegaskan kuasa lebih besar dan fungsi lebih penting berbanding cadangan atau draf dibuat Suruhanjaya Reid,” katanya.

Menulis di Berita Harian hari ini, Prof Shamrahayu berkata, antara berjaya dipertahankan Raja dalam hal ehwal pentadbiran negara ialah berkenaan lantikan hakim Mahkamah Agung.

Selain itu, lantikan pengerusi suruhanjaya penting seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP).

Menyingkap lagi sejarah, beliau berkata, ketika itu Suruhanjaya Reid dan wakil Parti Perikatan berpandangan pembabitan Raja dalam pelantikan ini menjadikan Raja terbabit dalam politik dan ini tidak dipersetujui Suruhanjaya Reid dan juga Parti Perikatan.

“Namun, atas ketegasan Raja, Jawatankuasa Kerja membuat pindaan pada Bahagian IV draf atau cadangan Perlembagaan disediakan Suruhanjaya Reid. Pindaan itu membuat peruntukan khusus mengenai Majlis Raja-Raja dalam Perkara 38.

“Jawatankuasa Kerja juga bersetuju bahawa Perkara 38, hendaklah memperuntukkan supaya Majlis Raja-Raja hendaklah dibentuk dan dirundingi secara rasmi dalam pelantikan keahlian penting suruhanjaya, seperti SPR dan SPP, serta pelantikan hakim di Mahkamah Agung.

“Ini kejayaan Raja ketika gubalan Perlembagaan berkenaan dan kini, perkara ini dinyatakan dalam Perkara 38(6)(b) bahawa Majlis Raja-Raja bertindak menurut budi bicara untuk memberikan nasihat mengenai apa-apa pelantikan,” katanya.

Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu bagaimanapun berkata, jika diperhatikan jarang sekali dibicarakan mengenai hak Majlis Raja-Raja untuk memberikan nasihat mengenai lantikan jawatan penting.

“Apa yang sering kedengaran ialah Raja semuanya bertindak atas nasihat.

“Namun, sekiranya diperhati dengan mendalam sejarah dan juga peruntukan Perlembagaan Persekutuan, hak Majlis Raja-Raja juga hendaklah diperjelaskan kepada khalayak.

“…supaya konsep Raja Berperlembagaan kita difahami dan diamalkan menurut hasrat peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang dihasilkan dengan perkenan Raja juga,” katanya.

 



Comments
Loading...