Saya tidak boleh maafkan Najib sebab dia rosakkan Umno – Tun M


(Malaysia Post) – “I cannot forgive him…saya tidak boleh maafkan dia kerana dialah yang merosakkan parti saya,” kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas Presiden Umno itu ternyata marah kepada Datuk Seri Najib Razak yang didakwanya sebagai punca Umno rosak.

Menurutnya, Najib merosakkan parti yang ditubuhkan oleh bapanya Allahyarham Tun Abdul Razak dan perbuatan itu cukup tidak baik serta beliau tidak boleh memaafkannya.

“Kalau dia akur kepada bapanya dia tidak jadi macam ini. Bapa dia kenal baik dengan saya bahkan saya anggap peluang saya jadi Perdana Menteri pun kerana Tun Razak.

“Tun Razak yang pilih saya jadi menteri lepas itu dia buat ‘recommend’ kepada Tun Hussein dengan itu saya jadi Perdana Menteri tetapi Najib bukan macam bapanya,” katanya dalam temubual eksklusif bersama Malaysiapost di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.

Dr Mahathir berkata, perselisihan antara beliau dan Ahli Parlimen Pekan itu tiada faktor lain kecuali tindakannya merosakkan Umno.

‘Tiada faktor lain… dia dengan saya baik dulu.. kami kawan dan saya biasa nasihat dia walaupun dia tidak terima, tetapi perbuatannya adalah suatu yang saya tidak boleh terima… saya tidak boleh terima,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang menjadi Perdana Menteri dan Presiden Umno sebelum bersara pada 2003, Umno masih kuat bahkan boleh menang dalam pilihan raya sehingga 90 peratus melebihi pencapaiannya.

“Tetapi ini (kejatuhan Umno) berlaku kerana Najib… Najib bagi rosak daripada sebuah negara yang dikenali sebagai ‘Asian Tiger’ kita sudah jadi satu kleptokrasi,” katanya lagi.

Ditanya pula mengenai Datuk Seri Anwar Ibrahim, susulan Presiden PKR itu dinamakan calon Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH), Dr Mahathir berpendapat Ahli Parlimen Port Dickson itu sukar mendapat majoriti.

“Saya berpendapat bahawa kalau undi, dia (Anwar) tidak boleh dapat majoriti dalam Dewan.

“Dia bukan orang yang akan ikut nasihat. Saya berpengalaman masa dua bulan saya pergi bercuti (pada 1997), saya angkat dia jadi ‘acting prime minister’ dia tiada pengalaman untuk menangani masalah.

“Bila mata wang negara diserang dia ‘minister of finance’, saya lihat dia cuma nak ikut apa yang IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa) suruh sahaja.. saya kata kepada dia ‘you’ ikut apa yang IMF suruh satu hari kita tiada duit nak bayar gaji pun. Sebab itu saya terpaksa ambil alih daripada dia.

“Dia ini nampak orang yang pandai berpidato dan dapat populariti, tetapi kebolehan saya khuatir,” katanya.

 



Comments
Loading...