Wujud pakatan sulit UMNO-PH angkat Anwar jadi PM


(PN BBC PORTAL) – Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Segambut, Mahathir Mohd Rais (gambar bawah), mendakwa wujud pakatan sulit antara pemimpin tertinggi dalam Pakatan Harapan (PH) dan UMNO untuk mengangkat Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri seterusnya.

Mahathir berkata perkara itu berdasarkan kenyataan dibuat Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke, yang berbunyi;

“Apa yang telah diputuskan ialah Datuk Seri Anwar adalah calon PM bagi Pakatan Harapan. Jadi kami memberi tawaran yang jelas kepada rakyat , jika kami gagal mendapat kerusi majoriti memerintah sudah tentu akan ada kerjasama dengan mana-mana parti, termasuk UMNO…”

Tegasnya, kenyataan Loke berkenaan menguatkan persoalan sama ada wujud persefahaman sulit untuk membentuk jajaran baru dalam khemah besar yang didominasi oleh DAP.

“Kita sedia maklum bahawa sebelum ini pernah tular sepucuk surat daripada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengisytiharkan taat setia beliau selaku Presiden UMNO untuk mengangkat Anwar sebagai Perdana Menteri. Surat ini dialamatkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan tidak pernah ditarik balik oleh Ahmad Zahid.

“Kelihatan seolah-olah usaha mengangkat Anwar sebagai Perdana Menteri, dengan sokongan DAP adalah satu usaha yang serius tetapi secara senyap dan rahsia,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Mahathir berkata, sekarang DAP pula mengesahkan bahawa jika ada kerjasama dengan UMNO, maka calon Perdana Menteri bukanlah dari UMNO tetapi mesti Anwar.

Dalam pada itu dakwanya lagi, ada usaha untuk menyucikan imej DAP juga sedang giat dilakukan oleh kluster mahkamah dan kluster merungut, dengan rungutan-rungutan berterusan yang mencerminkan sokongan kepada pandangan dan desakan DAP.

“Saya berpandangan bahawa Perikatan Nasional jauh lebih telus dalam hal ini. Tidak ada sebarang rahsia bahawa calon Perdana Menteri dari PN ialah Muhyiddin Yassin.

“PN menawarkan seorang individu yang jelas istiqamah membantu rakyat setiap masa,” katanya.

Beliau berkata PN menawarkan kepimpinan Muhyiddin, iaitu seorang individu yang tidak pernah terpalit dengan sebarang isu atau masalah.

“Kami tidak perlukan sebarang persefahaman sulit kerana niat dan matlamat kami adalah jelas dan ikhlas semata-mata mahu menjaga nasib rakyat,” katanya.

 



Comments
Loading...